Wednesday, 26 February 2014

Zulkifli Alias

Bab I


ZULKIFLI ALIAS

“Berambus kau!”
“Aku tak mau tengok lagi muka kau lagi!”

ZULKIFLI Alias berundur sedikit daripada meja Kong Keong. Hatinya bergetar. Tangannya mengengam penumbuk.

‘Astagfirullahalazim…astagfirullahalazimmm’, dia membutirkan bisikan zikir, cuba tenangkan diri. Namun  si Cina Senior Cheif Supervisor itu dilihat kecil-besar, kecil-besar sahaja. Kalau ditunggu lebih lama pasti hatinya tidak tahan sabar.

“Tunggu apa lagiiiii, cepatttt, berambussss…..melayu bodoh!!”

Kong Keong menyeranah Zulkifli Alias sepuas hati. Suhu bilik yang sejuk dijajahiaircon tidak mampu memadam nyalaan api amarah Kong Keong. Puncanya ?. Punyanya banyak. Ledakan lahar api kemarahan pada tengahari itu adalah kemuncak dari luahan rasa tidak tidak puas hati yang ditahannya sekian lama. Manusia yang bernama Zulkifli Alias itu adalah musuh utamanya di kilang itu. Sakit hatinya kerana orang yang dibenci ini adalah orang yang sering pula dipuji-puji oleh big bos. Sudah beberapa kali dia menjadi tokoh pekerja contoh. Ini tidak boleh jadi. Lama kelamaan jika dibiarkan, suatu hari nanti dia boleh pijak kepala aku. Celaka. Bertahun-tahun Kong Keong menahan perasaan dan memikirkan kedudukannya yang mungkin goyah. Zulkifli Alias adalah pencabarnya yang paling berpotensi berbanding dengan supervisor yang lain. Acap kali sudah dia cuba ‘meracuni’ big bos. Jangan biarkan Melayu naik sampai atas. Namun itu tidak menjamin apa-apa. Perlumbaan mesti berasaskan merit dan competency kata big bos, suatu hari di majlis family day bagi merai dan menghiburkan pekerja.

            Mengadap bos bermakna sedia menahan telinga untuk dimaki. Zulkifli Alias beralih arah selepas keluar dari bilik Kong Keong tadi. Mulanya dia bercadang mahu meneruskan kerja yang masih lagi berbaki 15 minit sebelum waktu rehat. Namun dia mengambil keputusan untuk berehat lebih awal. Dia kenyang menelan sumpah seranah Kong Keong. Hilang rasa lapar dan terputus seleranya untuk makan tengahari. Dia berjalan melalui tepi tingkat kantin lalu memesan kopi ‘O’ ais kegemarannya. Minuman itu sesuai dengan tekaknya bila dipadankan dengan hembusan asap rokok yang dilepaskan setelah disedutnya dalam-dalam sekejap lagi.

“Hajar, air tu nanti hantar kat belakang, ya!”. Dia menitipkan pesan kepada pelayan (anak taukey) kantin.

Perkataan belakang itu sudah dimaklumi oleh si gadis yang dipanggil Hajar tadi. Zulkifli Alias melabuhkan punggungnya di pelantar bangku panjang di bawah pokok di belakang kantin. Segera dikeluarkannya sekotak rokok buat menemaninya melayan hati yang sedang medidih. Sebatang rokok dikeluarkan bagi menghalau suara hantu Kong Keong yang sedang melolong di kotak fikirannya saat itu.

Mujur, tiba-tiba bayangan wajah arwah datuknya segera bertandang, jernih dan tenang di ruangan mata, sekilas memadam gelora rasa yang sedang membuak. Walau pun ingatan kepada datuk itu masih menyambung rasa lara, tetapi sekurang-kurangnya kesedihan yang sedang mengulit dirinya kini adalah kesedihan yang bersulam dengan kenangan nostalgik tentang kehidupan masa lalu. Masa berlalu pantas, cepat pula merampas kebahagiaan zaman kanak-kanaknya. Dia dibela oleh datuk bersama seorang adik dan bapa-bapa saudaranya, selepas kematian ayah.

HOOOORAYY!!..Hoooorayy!. Hati aku rasa berbunga. Rasa teruja dan kesukaan. Sayup-sayup aku dengar suara dari corong pembesar suara yang sangat jarang sekali akan bergema di kampung. Melalui pengalaman, aku tahu suara dari pembesar  suara begitu datangnya dari sebuah lori “pick up” kecil yang dipandu melewati beberapa kampung. Sekali  aku mengamati betul-betul suara yang tadinya masih sayup jauh, tapi kini makin dekat dan jelas telinga dan akal aku tidak salah lagi. Malam ini pasti ada hiburan.

“aaaaaa…adik kakok semua…jange lupo malae ni ada wayae gamba di padang skolah kg panchor….aaaa adik kakok semua pakat tubik ramai-ramai..”

Aaaa..adik kakok semua.. begitulah ayat diulang-ulang oleh juruhebah yang duduk disebelah pemandu. Tanpa bertangguh, aku perlu berlari ke tepi jalan untuk memungut  ‘sakela’ iaitu sebutan orang kampung kepada kertas hebahan yang dicampak dari lori kecil itu, iaitu kenderaan Jabatan Penerangan.

“Mal, bunyi seghupo oghe woyae gamba tuh, cepat la maghi kito gi tunggu ambik sakela’, aku melaungkan suaraku kepada rakan sepermainan guli, Kamal ‘che yok’.

Tambahan che yok dibelakang namanya adalah satu gelaran yang sengaja diberikan oleh seseorang lalu terus melekat padanya, turut dipanggil sebegitu oleh kawan-kawan dan orang-orang kampug. Budaya biasa di kampung-kampung, tambahan gelaran pada nama-nama asal ini akan dapat membezakan antara orang-orang yang mempunyai nama yang sama, biar pun ada antara gelar-gelar itu yang memalukan pada mulanya, sehingga menjadi terbiasa pada lama kelamaan masa berlalu dan gelar itu terus digunakan. Ketika itu Kamal sedang asyik membersihkan lubahg-lubang guli yang baru ditinggalkan petang semalam. Lubang-lubang guli itu dikorek di atas tanah, sekitar satu inci dalamnya dan seluas bulatan pertemuan antara ibu jari dan jari telunjuk sahaja. Dengan saiz yang sebegitu akan menguji kehebatan setiap pemain guli untuk memasukkan gulinya dari jarak yang paling jauh sekali pun.

“Yo…aku ghaso gitu jugok….mari kita gi tunggu….cerita gapo malae ni….ha..ha..mesti beh nih”, kata Kamal.

Serentak itu kami berlari menuju ke tepi jalanraya. Begitu jugak budak-budak lain, semuanya berlari meninggalkan tempat bermain mengikut kelompok masing-masing. Ada yang meninggalkan sekejap permainan selambut. Ada yang meninggalkan permain lompat getah mereka. Ada pula yang meninggalkan permainan bola awal, permainan congkak, permainan baling rumah selipar dan macam-macam lagi mainan kanak-kanak kampung.

“aaaaaa…adik kakok semua…jange lupo malae ni ada wayae gamba di padang skolah kg panchor….aaaa adik kakok semua pakat tubik ramai-ramai..”

Bunyi hebahan itu semakin dekat. Satu kampung jadi geger dan riuh dengan suara hebahan itu dan teriakan keriangan kanak-kanak di tepi jalan. Ada yang sebaya aku dan Kamal dan ada yang lebih muda dan lebih tua.

“aaaaaa…adik kakok semua…jange lupo malae ni ada wayae gamba di padang skolah kg panchor….aaaa adik kakok semua pakat tubik ramai-ramai..”

Kali ini aku sudah nampak punca datangnya suara yang menggetarkan jiwa itu. Dari selekoh dihujung kampung aku nampak lori pick up kecil yang ditambat ‘hela’ untuk membesarkan suara si juruhebah. Kelihatan budak-budak berlari-lari berebut cycler paper yang disebut sakela oleh orang kampung. Ia ditaburkan oleh seseorang yang duduk di belakang lori. Hati tambah berdebar dup..dup…sambil berharap semoga aku akan dapat mengutip sakela itu nanti. Antara ramai-ramai budak yang menanti itu, sudah pasti akan ada yang hampa kerana ‘kalah’ dalam perebutan untuk mendapatkan sakela itu.

“Aaaaa…adik kakok semuaa…”.

Kelibat lori pick up dengan suara hebahan yang menggetar jiwa itu sudah lalu di depan aku dan Kamal, serentak itu tiga helai kertas sakela dilabung tinggi oleh orang di belakang lori pick up itu. Kertas itu melayang-layang ditiup angin, tidak dapat dijangkakan ke mana akan jatuh. Budak-budak yang berjujut di tepi jalan pakat berlari mengikuti asap yang ditinggalkan oleh lori pick up Jabatan Penerangan yang datang dari Kampung Raja, Jertih iaitu sebuah pekan kecil sebagai pusat pentadbiran bagi Daerah Besut, Terengganu.

“Yeaaaa….aku dapat…..yeaaaa aku dapat”. Kamal berlari kegirangan.
“Yeaaa…aku buleh….Yeaaa aku buleh”. Teriak Paksu Sin.
“He…he…he… aku buleh….aku bulehh!!”. Teriak pula Senah.

Masing-masing mengangkat kertas sakela sambil melompat-lompat kegirangan meraikan kemenangannya dalam perebutan itu.
Budak-budak yang tidak dapat kertas hebahan termasuk juga aku berlari-lari mengerumuni  Kamal, Paksu Sin dan Senah. Masing-masing ingin tahu apa cerita Wayang Pacak yang akan dibawakan oleh Jabatan Penerangan pada malam ini. Aku dan lain-lain yang tidak tahu membaca mahu melihat gambar yang tercetak,  sebelum mendengar apa tajuk cerita dan para pelakonnya yang akan diberitahu oleh abang-abang yang sudah pun bersekolah peringkat rendah atau menengah. Hero-hero dan heroin-heroin yang terkenal waktu itu ialah Latif Ibrahim, Hail Amir, Uji Rashid dan Syarifah Aini. Mereka juga adalah penyanyi-penyanyi yang sedang popular dengan lagu-lagu mereka yang dirakamkan dalam pita kaset, iaitu teknologi baru yang menggantikan piring hitam. Kertas berpindah salih berganti tangan hingga terkeronyok oleh keterujaan budak-budak kampung yang dihidangkan hiburan sebegitu sekali setahun atau paling kerap pun dua kali setahun. Permainan yang ditinggal bagi terlupakan seketika. Masing-masing bercakap soal kehebatan hero dan heroin yang akan beraksi di layar putih malam nanti. Sesiapa yang mempunyai pengetahuan yang lebih sedikit pasti menjadi tumpuan sebagai tukang mengarai cerita itu ini begitu dan begini tentang perkara yang bersangkut paut dengan cerita dan pelakonnya pada malam ini. Selain watak baik-baik, watak antoganis juga pasti tidak terlepas daripada percakapan budak-budak di bawah pokok, di atas tangga, di bawah rumah atau dimana-mana kertas sakela itu diarak selepas jatuh ke tangan pemenang dalam perebutan tadi. Aku mengerumuni ke kumpulan Paksu Sin kerana dia adalah pak saudara aku. Beza umurnya hanya 3 tahun lebih tua dari aku. Boleh dikatakan, dia jugalah yang akan menjadi ketua dalam permainan kanak-kanak di sekitar rumah kami, terutama permainan-permainan yang mencabar seperti main guli lubang dan jugak main kombat.
Setelah kejutan yang dibawa oleh lori pick up tadi telah mereda, semua kanak-kanak meneruskan semula permainan yang ditinggalkan tadi. Paksu Sin, Kamal che yok, Aku, Kamal Mak Muda Pinah, Brahim Pok Nik Nor, Wae Semae dan Mat Ropi Pak Muda Mat Sah kembali ke gelanggang guli.

“Chop! Acu masuk lubae tikih tak akittttttt….”, Paksu Sin memulakan lontaran guli menuju ke lubang ibu sambil berteriak susunan kalimah keramat dalam permainan guli.

Kalimah yang disebut seiringan semasa melontar guli itu adalah satu ayat yang mengandungi terma undang-undang permainan yang telah disepakti dan difahami oleh semua budak-budak pemain guli. Entah siapa yang merekakannya tiada siapa yang mengetahui atau mengambil peduli. Apa yang pasti mereka semua akan mematuhinya. Bagi sesiapa yang terlupa menyebutnya akan menerima hukuman. Hukumannya ialah guli mereka akan dikeluarkan dari lubang itu jika ada guli lain yang masuk ke lubang yang disertai dengan kata-kata ‘chop masuk lubang tikih tak akit’ tadi. Ertinya pemain yang melontar buah gulinya sambil menyebutkan kata-kata tadi mempunyai kuasa kebal dan immunity daripada disingkirkan dari lubang ibu, sebaliknya dia dapat menyingkirkan guli dari lubang yangmana pelontarnya tidak menyebutkan ‘jampi serapah’ tadi. Sesiapa yang gulinya masuk ke lubang ibu atau paling hampir dengan lubang ibu, maka dialah yang akan dapat giliran dahulu untuk cuba memasukkan gulinya ke dalam lubang satu, lubang dua dan lubang ibu atau memangkah mana-mana guli yang menghalang laluannya. Target utama pemain-pemain ialah untuk memecahkan guli orang lain atau paling tidak pun dapat memangkahnya sekuat kuat hati supaya guli-guli itu akan pergi jauh dan menyusahkan pemiliknya untuk memasukkan guli-guli mereka dalam lubang satu, lubang dua dan lubang ibu. Waktu ini riuh rendahlah suara budak-budak ketawa puas hati atau bertengkar sesuatu atau mengejek mereka yang kalah atau pecah gulinya. Waktu inilah juga orang-orang dewasa sama ada ayah-ibu atau abang kakak akan mula tidak senang untuk tidur istirehat setelah penat bekerja separuh hari di kebun getah atau kebun sayur. Lebih-lebih lagi jika ada budak-budak yang bermain lasti getah gelang yang disangkut pada dinding rumah. Aku dan budak-budak lain paling takut nak bermain bising seperti lastik getah dan tolak kereta tin yang diletak batu didalamnya jika Pakcik Li sedang tidur. Pernah dia menjerkah dan menghambat kami dengan kayu lantaran tidurnya terganggu. Paling tidak aku lupakan bila dia merotan aku kerana jari kelingking adik aku hampir putus terkena parang gara-gara dia merangkak kearah aku yang sedang ghalib membuat senapang dari papan reja. Waktu itu aku sedang leka menakik papan di atas lambung gelegar buluh, kerana musim bermain perang kombat sedang melanda budak-budak kampung. Demam perang kombat ini pula dicetuskan oleh sebuah siri televisyen bertajuk Combat yang mengisahkan peperangan antara askar Amerika dan Askar German. Masing-masing budak kampung mengkhayalkan diri mereka sebagai Vick Morrow atau Vick Johnson iaitu dua orang watak hero dalam siri televisyen tersebut. Ada dua jenis senapang yang popular, samada budak-budak akan menakik papan membentuk seperti senapang patah, meletakkan kayu seinci yang diikat dengan getah gelang sebagai tempat peluru. Peluru itu pula akan dilepaskan daripada senapang dengan daya tarikan daripada gelang getang yang diikat dihujung senapang. Peluru biasanya dari buah senduduk / keluduk atau buah terung manggung yang tumbuh meliar di serata kampung. Atau jenis senapang kedua diperbuat daripada buluh kecil samada satu, dua atau tiga laras yang disumbat dengan buah cenerai atau buah jarum atau kertas yang dibasahkan. Jenis ini lebih trill kerana senapang ini mengeluarkan bunyi meletup. Kalau guna buah jejarum lagi dahsyat, boleh menyebabkan gatal-gatal atau berkudis.
Aku tak sabar menunggu malam. Wayang gambar pacak, hiburan paling hebat akan ditayangkan di padang sekolah pada malam ini. Selalunya, kalau orang lain bersorak sorai melihat hero sedang bergasak dengan penjahat, aku pula lebih teruja melihat pakaian yang dipakai oleh pelakon-pelakonnya. Melihat baju-baju yang gemerlap dengan butang labuci apabila para pelakon terlibat dalam aksi berdisko dengan seluar beggi berkaki besar membuatkan mata ku tidak berkelip menghayatinya. Entah kenapa minat aku begitu. Terlalu obsess kepada pakaian yang cantik. Namun peluang menganyam minat di mana-mana institusi pendidikan tidak kesampaian pada waktu itu. Aku tidak menyambung pelajaran sebaik tamat MCE, sebaliknya mula berkerja di kebun getah milik keluarga. Puas bergelumang dengan selut dan pacat di kampung, aku mula merantau ke bandar bekerja di beberapa buah kilang. Macam-macam jenis kilang dan pelbagai ragam manusia aku telah temui.


Bab II

BUAYA SUSAH

“Bang Zul, ada orang nak jumpa”, Hajar melontar suara dari pintu belakang kantin.
“Orang?..bukan hantu lah ya..”, Zulkifli Alias cuba bergurau. Hajar mencebik manja.

KEMUNCULAN tiba-tiba Hajar itu sekali gus mengheret Zulkifli Alias balik dari dunia flachbacknya terhadap kehidupan di kampung halaman. Lamunannya bercempera melarikan diri. Segera dipenyet putung rokok yang memanjang abunya seperti ubat nyamuk. Dia menapak ke perut kantin melalui pintu belakang juga. Kelihatan seorang lelaki melempar senyuman sebalik melihat kelibatnya datang dari dapur kantin. Sekejap otaknya menerawang mengumpul ingatan tentang lelaki itu. Oh ya, dia penjual pakaian bundle dan taukey sayur di pekan itu. Dia memang kenal pada susuk itu kecuali namanya.

“Selamat tengahari. Nak jumpa saya?” Zulkifli Alias mendahului sapaan mesra sambil menghulur tangan.
“Ya. Selamat tengahari…saya Baya”. Lelaki itu menjawab, seraya menyambut tangan Zulkifli Alias.
“Mm..saya Zul”, Zulkifli Alias pula memperkenalkan nama.
Segera pula dia menyambung kata, “ada apa boleh saya bantu?”.
“Ooohh..terima kasihhh…, kita oder minum dulu lah..” Lelaki yang mengelar dirinya Baya tadi mempelawa Zulkifli Alias memesan minuman.
Sementara menunggu minuman tiba, Baya memulakan perbualan ringan sebelum meleraikan hajatnya mahu berjumpa Zulkifli Alias.
“Dah lama kerja sini?”. Baya mula merintis jalan.
“Baru hampir 2 tahun”. Lurus saja Zulkifli Alias memjawab.
“Wow! Hebat tu...baru dua tahun dah jadi supervisor, tentu ada ilmu pemikat ni…he..he”. Baya menyambung tawa kecilnya dengan menepuk-nepuk bahu Zulkifli Alias. Boleh tahan juga Orang Asli yang ini. Baru beberapa minit berkenalan sudah mula menyulam dengan gurauan dalam perbualan.
“Ha…ha…itulah rezeki. Kalau ada ilmu pemikat taklah kena maki tiap-tiap hari”. Balas Zulkifli Alias lantas tersorot wajah Kong Keong baru memarahinya sebentar tadi.
“Ahh…biasa la tu selagi kita menjadi kuli orang”. Baya mula memasang ‘jerat’ terarah kepada maksud besarnya menemui Zulkifli Alias.

“Begini Zul…err sebenarnya saya bercadang untuk membuka kilang seperti ini. Kilang membuat pakaian …bla…bla…bla”. Panjang lebar Zulkifli Alias menjelaskan bussines model dan rancangan perniagaannya sambil cuba memancing minat Zulkifli Alias untuk bersamanya. Pertemuan tengahari itu berakhir dengan kedua-dua lelaki yang baru saling mengenali ini bersalaman dengan penuh erat dan terpancar keyakinan dari sinar mata masing-masing.
Malam itu, di rumah sewanya, Zulkifli Alias terbaring bersendirian meletakkan pergelangan tangan di atas dahi mengenangkan pertemuan siang hari tadi dengan Baya.

‘Tidak semena-mena Baya datang berjumpa aku. Mungkinkah rezeki aku akan bertambah baik dengan usaha bersama Baya ini?’. Dia bermonolog menggapai khayalan berbunga. Apakah dia sudah bersedia?. Apakah potensi diri yang dia miliki?. Lantas dia cuba memujuk diri dengan mengimbas kembali detik peningkatan kerjayanya.

TAHUN 1985/86 berlaku deflasi, iaitu keadaan ekonomi memuncak dimana permintaan melebihi penawaran. Pengeluaran barangan dalam Negara tidak dapat menampung kuasa beli yang sedang beredar di pasaran. Kilang-kilang terpaksa menambah peralatan dan pekerja bagi meningkatkan produktiviti, tidak terkecuali Kilang Wong Brothers. Sebuah kilang pakaian dimana Zulkifli Alias bekerja sebagai operator sejak setahun yang lalu.

Suatu hari, sedang dia minum di kantin sambil mengintai Hajar yang manis, tiba-tiba En. Wong big bos Wong Brothers datang duduk di sebelahnya. En. Wong menegur kemudian mula berbual-bual kosong sambil sesekali cuba meninjau pendapatnya, bagaimana untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran. Melihat En. Wong yang bersahaja dan tidak meletakkan gap antara dirinya dengan pekerja bawahan mendorong Zulkifli Alias untuk bersuara memberi pandangan. Penyelesaian mudah, katanya. Tiada lagi waktu rehat serentak dan mesin kilang tidak perlu ditutup semuanya apabila tiba waktu rehat seperti yang diamalkan sekarang. Demikian dia melanjutkan buah fikirannya. En. Wong mendengar penuh minat. Idea yang baik, fikirnya. Tapi bagaimana ?. Biarkan saja pekerja yang dipanggil Zul ini jelaskan lebih lanjut. Dia memutuskan sendiri jawapan kepada persoalan ‘bagaimana’nya tadi yang belum terungkai.

“En. Wong boleh perkenalkan waktu anjal bekerja”, kata Zulkifli Alias.
“Waktu anjal…, Macam mana tu ?. En. Wong membalas.
“En. Wong boleh menetapkan waktu rehat pagi kepada 4 sesi untuk empat line production bergilir-gilir mengambil waktu rehat mereka”. Zulkiflia Alias menerangkan ideanya.
“Demikian juga untuk waktu rehat tengahari dan rehat petang”. Zulkifli Alias menyambung.

En. Wong mengangguk tersenyum sambil segera bingkas bangun, kemudian menepuk-nepuk bahu Zulkifli Alias.

“Bagus. Good idea, Zul”. Dia menghabiskan hirupan kopi sambil berdiri dan beredar ke meja kaunter sambil tertawa kecil. Makan tengahari Zulkifli Alias hari itu dibelanja oleh En. Wong. Sebulan kemudian Zulkiflia Alias dinaikkan pangkat menjadi line leader untuk line production nombor 3. Kong Keong yang menjadiline leader sebelumnya dinaikkan pangkat menjadi supervisor mengantikan tempat orang yang berhenti.

Sejak itulah nampaknya Kong Keong mula berdongkol terhadap Zulkifli Alias kerana cepat ‘naik’ walau pun baru setahun berkerja, sedangkan dia mengambil masa bertahun-tahun untuk mengambil tempat itu sebelum ini.

Tahun 1987/88 pula berlaku kegawatan ekonomi dunia. Malaysia tidak terkecuali. Kadar inflasi galak membiak. Pengeluar dan pengguna sama-sama mengelupur mengharungi kehidupan.
Sekali lagi beberapa saranan dan idea yang dilontar oleh Zulkifli Alias diterima pakai oleh pihak pengurusan kilang. Bertambah berdengus dan membuak gelora hati Kong Keong, lantaran Zulkifli Alias sekali lagi melonjak jawatan. Kali ini kedudukan mereka sama level. Sama-sama menjawat pangkat supervisor, hanya di pisahkan dengan line production yang berlainan sahaja.

Masalah dengan Kong Keong dan potensi yang ada pada diri. Dua elemen ini sudah cukup untuk mengamit Zulkifli Alias menyambut lamaran Baya. Cukup untuk mengaru-garu naluri  keinginan untuk ‘berambus’ seperti yang sering kali dicabar oleh Kong Keong ke atas dirinya. Keupayaan Baya memiliki perniagaan sayur dan bundle serta memilikipula  beberapa orang pekerja mengejapkan lagi keyakinannya kepada rancangan mereka untuk membuka kilang sendiri. Setelah begitu pasti apa yang kehendak dirinya, lantas dia bingkas bangun menjenguk keluar melalui tepi tingkap. Rambulan masih malu berlindung di balik awan. Menyedari perut minta dilayan, dia meredah malam menuju ke kedai makan dan bercadang menemui Baya selepas itu di tapak khemah jualan bundle itu.

            “OK macam mana kita nak mula”. Baya mula menyoal Zulkifli Alias  sebaik sahaja dia menyandar belakangnya pada kerusi di ruang tamu.

BAYA ketika itu sedang mengadap mesin taip yang sudah diselitkan kertas A4. Dia duduk di kerusi yang berhadap dengan Zulkifli Alias.

“Engkau mulakanlah dengan menaip pendahuluan, aku nak semak balik jika ada apa-apa yang tertinggal”. Balas Zulkifli Alias.

Sebenarnya, dia telah mencatatkan segala keperluan kos untuk mengoperasikan sebuah kilang pakaian di rumahnya malam tadi. Hari itu mereka bertemu untuk sama-sama menyiapkan satu kertas cadangan untuk dihantar kepada pihak bank bagi tujuan memohon pinjaman perniagaan. Sebolehnya Zulkifli Alias cuba menyembunyikan rasa geli hatinya kepada Baya. Rahsia nama sebenar Baya yang pelik itu baru diketahuinya. Dia dapat mengesan ketidakselesaan bakal rakan kongsinya itu. Nama Buaya bin Susah terpaksa ditaip oleh Baya di dalam kertas kerja itu bergandingan dengan nama Zulkifli Alias sebagai tuan punya projek bagi membangunkan sebuah kilang pakaian di Bandar itu. Hampir setengah hari mereka bertungkus lumus menyiapkan kertas cadangan itu. Merasa tidak yakin dengan susunan bahasa dan kesempurnaan maksud yang ingin disampaikan, mereka memutuskan untuk merujuk kepada seseorang yang dipanggil Man Pawang. Gelaran ‘pawang’ itu entah siapa yang memulakannya, tetapi yang pastinya ia merujuk kepada kemampuannya mempersembahkan kertas cadangan projek yang jarang ditolak oleh pihak mempunyai authoritymemberi kelulusan.


Bab III

VIVA

“Bila kita nak hantar kertas ni?”. Tanya Zulkifli Alias.

MACAM tidak sabar pula Zulkifli Alias sebaik Man Pawang menoktahkan titik akhir pada kertas mereka yang dieditnya. Baya hanya diam membiarkan soalan itu berlalu tanpa jawapan.

“Suku jalan dah projek kita bermula…jom! kita minum dulu…”, Baya mengalih tajuk dengan gaya meniru skrip iklan minuman, dituturkan oleh seorang budak yang melakonkankannya. Ketiga-tiga lelaki yang hampir sebaya itu segera mengantur langkah menuju ke kedai kopi berdekatan. Sedikit bakshis perlu dihulurkan kepada Man Pawang.

Selepas detik yang memberangsangkan bagi Zulkifli Alias baru bermula, anihnya pula kerana Baya diam menyepi. Tidak tahan disergah rasa resah, Zulkiflia Alias mula bertanya kepada Baya, bilakah kertas itu hendak di bawa kepada pihak bank yang mereka telah pilih. Langsung dia tidak menduga Baya sedang dihantui dengan masalah lamanya, iaitu perasaan malu membawa namanya yang pelik itu. Dia membayangkan reaksi ‘jahat’ pasti dipamerkan oleh pegawai bank nanti. Perasaan nama itu membawa sial masih belum terhakis. Parut luka Hatinya pasti akan berdarah kembali.

Akhirnya Baya terpaksa juga akur. Amat tidak munasabah dia hendak memberi alasan begitu kepada Zulkifli Alias, selepas memberi sebuah harapan. Masalah itu sebenarnya hanyalah bersifat remeh sahaja bagi sesiapa yang memahami dan bersikap terbuka. Zulkifli Alias menawarkan diri untuk dia sahaja yang masuk menemui pegawai bank jika Baya tidak sanggup. Memang dia merasa janggal kerana dia hanya memegang saham 10% sahaja dalam cadangan projek mereka itu. Namun diluar jangka, sesampai di bank Baya memutuskan untuk masuk bersama-sama. Zulkifli Alias terasa amat lega.

“Buaya bin Susah... awak ni nak jadi usahawan ke nak jadi susahuwan...”. 

Pegawai bank bersuara setelah meneliti kertas cadangan yang terkandung nama kedua-dua rakan yang mahu berkongsi projek kilang pakaian itu. Zulkifli Alias rasa macam tidak percaya dengan apa yang didengari. Dia terkejut sebaik telinganya menangkap ucapan tidak sopan yang meluncur dari mulat si pegawai. Belum habis dia terkejut dengan itu, sekali lagi dia dikejutkan dengan tindakan tidak terduga dari Baya.
Dupp!!...bibir mulut pegawai bank berdarah ditumbuk oleh Baya. Segalanya berlaku dengan pantas. Baya menghayun tangannya tanpa sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Serentak itu bilik itu menjadi hinggar dengan teriakan si pegawai dan campur tangan pengawal keselamatan bank. Zulkifli Alias menjadi tidak keruan cuba menenamkan keadaan sambil memungut kertas cadangan mereka yang terjatuh ke lantai. Mereka dihalau keluar bagai anjing kurap.

“Padan muka, jahat sangat mulut!”, Baya melampias rasa marah.
“Ya, memang tidak patut”, Zulkifli Alias menyokong kata-kata kawannya itu.
“Kita bukan hendak mengemis duit dia”, Zulkiflia Alias menambahkan lagi rasa jengkelnya terhadap pegawai bank yang tidak beradab itu.
“Maaflah Zul, punahlah projek kita ni…”, Baya pula menyambung kata.
“Tak mengapa..kita cuba pula di bank..”.
Zulkifli Alias tidak menghabiskan kata-kata bila menyedari dia tidak patut menyebut membawa kertas kerja itu ke bank lain pada saat itu. Baya tengah frustkerana dilayan dengan tidak wajar oleh pegawai bank tadi.

HAMPIR sebulan Baya tidak datang berbual dengannya sewaktu rehat kerja di kilang. Zulkifli Alias juga selama itu tidak berkesempatan untuk menemui Baya di pasar malam. Namun kian hari, hatinya semakin tawar untuk memberi kerjasama kepada Kong Keong. Ada sahaja kerjanya yang tidak kena di mata Kong Keong.Big bos pula sedang berura-ura untuk berundur dari menguruskan kilang itu dan mahu menyerahkannya kepada anak-anak. Kong Keong pasti akan lebih bermaharaja. Sekali lagi dia disergah keresahan. Dia serba salah. Apakah Baya masih terluka hatinya akibat kegagalan mendapatkan pinjaman bank tempoh hari. Dia sendiri pun turut membenci kepada pegawai bank itu bila terkenangkan kelakuan menghina Baya hanya kerana namanya Buaya bin Susah dan hanya kerana susuk tubuhnya yang tidak menarik. Keseluruhan cadangan mereka tidak dinilai hanya kerana itu.

Tidak semena-mena, suatu malam Baya datang mengetuk pintu rumah sewanya dan kelihatan sangat teruja ingin menyampaikan sesuatu perkhabaran.

“Jom! esok kita pergi ke Bank W. Kertas kita pasti diterima kali ini”. Kata Baya.

Zulkifli Alias menggaru kepala yang tidak gatal. Sambil mengosok dagu, dia merasa pelik dengan keyakinan yang ditunjukkan oleh Baya. Dia mempamerkan wajah yang sungguh ceria dan excited dengan apa yang akan berlaku hari esok.

“Eh..yakin bebenor engkau ni Baya”. Akhirnya Zulkifli Alias merungkaikan simpulan di hati.
“Esok kita jumpa Viva, kawan aku di Maktab dulu”. Balas Baya.

Dia mengakui Viva sebagai kawannya walau pun perkenalan mereka dahulu terlalu singkat.

“Mmm…bolehlah kalau begitu, tapi waktu rehat lah”. Zulkifli Alias memberi persetujuan.

Kedua-duanya berpisah dan masing-masing berbunga senyuman menantikan hari esok yang mungkin akan bersinar.




Bab IV


AIR MATA ZULKIFLI

“Saya cadangkan Zulkifli Alias menguruskan projek-projek ini”. Datuk Buaya melontarkan hasrat hatinya.

DIA merujuk kepada beberapa projek yang sedang dirancang oleh Libas Jaya, sebuah anak syarikat yang baru ditubuhkan di Sabah. Dia memandang Zulkifli Alias, seterusnya beralih mata kepada Haji Ramdhani Rameli, Saad Isohak, Dr. Lim Chai dan Datuk Dr. Zubeiri Ahirun. Kesemua mereka adalah Ahli Lembaga Pengarah dalam Bya Zul Corp. Zulkifli Alias hanya tersenyum tenang tanpa menyedari ada sepasang mata sedang merenung dengan pandangan kurang menyenangkan lantaran diulit rasa dengki. Sepatutnya dia yang perlu diberi pengiktirafan dan kerpercayaan begitu, kerana dia yang mengusahakan inisiatif penubuhan dan pencarian projek-projek itu di Sabah. Dia telah memasang angan-angan sejak dari mula dan telah pun terlanjur menyampaikan harapan itu kepada Datin Viva semasa mereka berada di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Sambil menyelam minum air. Begitu rancangan panjangnya. Selain berkhidmat kepada syarikat, ada berepa kepentingan peribadi bakal diperolehinya melalui usahasama yang masih muda itu dengan beberapa pihak di sana.

Masa pun berlalu bersama kian menyuburnya rasa tidak puas hati Datuk Dr. Zubeiri Ahirun terhadap Zulkifli Alias. Datuk Buaya juga mula terlihat sedikit goyah kepercayaan dan rasa kesetiaankawan kepada rakannya itu. Manusia sememangnya mudah lupa diri, terkhilaf dan terkadang menerima nasihat yang salah. Bisikan berbaur dengki-khianat dan tamak-haloba sering kali dialun lunak oleh lidah pemainnya.

Namun cerita-cerita tidak enak ini sampai juga ke telinganya yang sedang bermukim di Sabah kini. Rakan businessman dan kenalan sepermainan di padang golf seperti Dato’ Mansor pemilik syarikat Mansorosmah Holding dan lain-lain yang sering juga membawa khabar berita yang bertiup dari tanah semenanjung. Hanya kepada Hajar, isteri tercinta tempat dia mengadu rasa. Harapannya mungkin hubungan Hajar dan Datin Viva yang rapat itu, hubungannya yang kian rengan dengan Datuk Buaya (Baya) dapat dipulihkan.

Dipendekkan cerita…

Selepas berusaha dengan tekun membangunkan syarikat bersama Datuk Buaya, Zulkifli Alias akhirnya dikhianati. Dia ditendang keluar oleh rakan yang dipercayai dikala syarikat sedang berkembang maju. Melalui mainan politik korporat yang kotor dia akhirnya tidak terdaya untuk melawan. Dia dihempap dengan tuduhan di bawah Undang-Undang Kecil (23) syarikat mereka, iaitu pensabitan dengan tindakan tatatertib. Pertuduhan yang sengaja direkacipta untuk mengenakan Zulkiflia Alias


DALAM kesedihan diperlakukan sedemikian, Zulkifli Alias membawa rajut hati ke Singapura. Dia membina kerjaya baru sebagai pembantu kaunselor di sana. Pada mulanya dia bekerja hanya sekadar ingin melupakan duka laranya dibawa menyeberang tambak Johor. Juga bimbang simpanan yang ada akan terhakis jika hanya diam tanpa berbuat sesuatu.
Namun, malang datang bertimpa. Suatu hari, sehari sebelum hari raya puasa, dia telah berada di kampung bagi menyambut raya bersama ibu dan keluarga. Pada hari itu adik lelakinya ditangkap polis kerana masalah dadah.

Rentetan beberapa peristiwa sedih, juga kebetulan dia mendapat pengalaman awal tentang kaunseling walau hanya sekadar diperolehi melalui tugasnya membantu majikannya seorang Kaunselor di Kota Singapura, dia mengambil keputusan menyambung pelajaran di dalam bidang kaunseling Islam. Jenuh dia bergelumang dengan buku-buku dan assignment setelah dia mengambil kursus sepenuh masa dan bergelar ‘mahasitua’, kata gurauan ganti kepada mahasiswa yang telah berusia sepertinya. Dia di tempatkan si Penjara Wanita Kajang sebagai kaunselor pelatih selama 6 bulan dan sebagai kaunselor percubaan selama setahun, sebelum dilantik ke jawatan tetap pada tahun berikutnya.




Bab V

HEIYA

‘Ah..bunuh anak lagi’. Detik hati Zulkifli Alias.

RASA cuaknya itu timbul sebalik terpandang tajuk akhbar yang terdampar di atas meja di luar bilik pejabatnya. Pagi itu pagi yang cerah dan ceria sebenarnya. Zulkifli Alias masuk ke pejabat. Sama seperti hari-hari yang dilaluinya selama bekerja di penjara itu, sambil membawa akhbar tadi di tangannya.  Waktu pagi sering dimulakan dengan membaca akhbar terlebih dahulu. Dia akan membaca tajuk-tajuk yang ada kaitan dengan kaunseling atau yang dekat dengan kerjayanya itu seperti berita-berita tentang banduan dan penjara atau berita tentang jenayah moral yang kian berleluasa dewasa ini.  Sebaik duduk, matanya kembali menatap satu berita kecil yang menarik minatnya sejak tadi. Tertera tajuk berita, ‘Bunuh Anak : Gadis Dihadap Mahkamah’.

Kuala Lumpur, Selasa- Mahkamah Tengah di sini hari ini                        Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai
menyambung perbicaraan kes bunuh bayi yang baru di-                          Pendakwa iaitu Penolong Penguasa I, iaitu
lahirkan membabitkan seorang bekas Pegawai Eksekutif                      Nik Raza Abdullah Nik Kob. Saksi utama,
Gadis tersebut, Heiya Habibah Mansor,  23, didakwa me-                     Inspektor Rosli Rohman dalam keterangan-
Lakukan perbuatan tersebut di bilik air sebuah rumah di                       nya berkata beliau berkejar ke rumah sewa
                Sebuah rumah di Taman Manggis, Ampang Jaya, Ampang                   tertuduh setelah mendapat aduan daripada
                                                                                                                                             orang awam. Sebaik sampai …

“Huh, bilakah akan berakhirnya masalah sosial begini’, getus hati Zulkifli Alias sebaik habis membaca, sambil cuba dibayang-bayangkannya bagaimana latar peristiwa itu berlaku sebagaimana dilaporkan dalam berita itu. Lebih mengejutkan, kerana dia memang kenal sungguh dengan bapa kepada gadis bernama Heiya Habibah, seperti yang dilaporkan dalam berita akhbar itu. Dia pernah beberapa kali bersaing merebut kontrak perniagaan dengan Dato’ Mansor semasa dia menjadi partner Tan Sri Buaya dahulu. Satu persaingan yang cukup sengit. Adakalanya dia menang, adakalanya kalah. Namun mereka sering jugak ‘lepak’ di Boneo Golf Resort yang terletak di Beaufort, Sabah. Beberapa kali dia mengelengkan kepala. Seakan tidak mahu mempercayai berita yang menampar mukanya pagi itu. Serentak itu, dia membayangkan jika ‘budak perempuan’ itu kalah perbicaraan di mahkamah nanti, sudah pasti imbalannya adalah penginapan percuma di penjara. Berdasarkan pengalaman, tidak mungkin kes begitu akan mendapat hukuman lebih berat lagi dari itu. Mensabitkan hukuman mati bukan pilihan popular para hakim. Pastinya penjara inilah yang akan menghulur tangannya. Tidak lama lagi pasti dia akan bertentang mata jua dengan anak Dato’ Mansor ini.

Selepas sebulan selepas Zulkifli Alias membaca berita berkaitan seorang gadis (Anak Dato’ Mansor) membunuh anak, tiba-tiba hari ini dia mendapat pula perkhabaran bahawa budak yang didakwa pembunuh itu akan dimasukkan ke penjara itu. Dia disabitkan dengan kes bunuh tanpa niat.

‘Hari ini bolehlah aku tengok bagaimana rupanya wajah anak Dato’ Mansor ini’, hatinya berkata-kata sendirian.

‘Perlukah aku berjumpa dengan Dato’ Mansor nanti’, dia memanjangkan kata-kata hatinya tadi, berubah menjadi satu persoalan pula.

Namun keada berubah secara tiaba-tiba.  Dia tidak dapat ‘menyambut’ ketibaan penghuni baru yang ‘istimewa’ pada hari itu. Dia bergegas pulang ke rumah selepas menerima panggilan daripada isteri. Anaknya terjatuh tangga rumah dan mengalami  patah tangan. Dia mengambil cuti beberapa hari membawa anaknya mendapatkan rawatan.

Hampir terlupa Zulkifli Alias kepada gadis penghuni baru penjara, anak Dato’ Mansor bernama Heiya Habibah. Belum pun lama dia memanaskan kerusi di pejabat, dia dikejutkan dengan ‘panggilan hangit’ daripada beberapa orang penghuni penjara.
“Ustaz!, Heiya Habibah mahu bunuh diri”, jerit seorang gadis yang dikenalinya bernama Kamilia.
“Heiya Habibah? err..”, otaknya belum dapat menangkap gambaran pemilik nama yang disebut itu.
“Alahhh…ituuu…budak baru anak Dato’ Mansor…”, Kamilia kelam kabut sambil melepaskan lelah kerana berlari tadi.
“Ooo..” itu sahaja yang termampu keluar dari mulutnya saat itu.
Tergopoh gapah Zulkifli Alias meminjam ‘ribut’ yang dibawa Kamilia. Tangannya memegang sehelai baju dan kain sarung yang dibawa oleh Wani, kawan si Kamalia.

Sementara itu di satu sudut, Heiya Habibah dikelilingi oleh sekelompok penghuni Penjara Wanita, Kajang. Matanya meliar memandang tanpa keruan. Mereka cuba menenangkannya dan menghalang dia daripa melakukan tindakan yang lain pula. Niatnya mahu membunuh diri telah Berjaya dihalang sebentar tadi. Baju dan seluar yang dipakainya dikoyak-koyakkan, kemudian disambung-sambung menjadi tali. Mujurlah ada yang nampak dan sempat menghalang.

Zulkifli Alias segera menghulur pakaian yang dibawa kepada Heiya. Kali ini mudah pula dia mengambilnya, kerana saat itu dia hanya berseluar dalam dan bercoli sahaja. Sebelum itu degilnya dia kerana tidak mahu mengambil pakaian yang dihulurkan oleh Eton. Malu kepada Zulkifli Alias barangkali, yang dipanggil Ustaz Zul oleh para penghuni penjara itu.

“Heiya, kamu dah sedia ke mengadap tuhan…err dengan cara membunuh diri pulak tu!”.

Zulkifli Alias  melontar suara perlahan, ketika dia hampir buntu menantikan reaksi balas dari Heiya Habibah yang sedari tadi diam membatukan diri.
Diam. Masih tiada suara yang terbenih dari gadis itu.

“Masuk penjara ini adalah hukuman dunia, hukuman manusia sahaja. Bagaimanalah nanti hukuman Allah Taala”,

Zulkifli Alias masih berusaha. Kali ini dia Heiya mula mendongak. Wajahnya berubah pucat. Air mata pula yang mendahului suara yang masih tersangkut di kerongkong si gadis. Zulkifli Alias tersenyum.

‘Ada harapan’ – berbunga doa dan bisikan dalam hati Zulkifli Alias.

“Bersabarlah, Heiya…tunaikan solat lima waktu, solat sunat, baca AlQur’an dan berdoa”, Zulkifli Alias mengatur  tutur berbahasa nasihat. Serentak dia menghulurkan sebuah buku.

“Bacalah”, katanya sambil memberi isyarat mahu beredar seraya meminta kawan-kawan membawa Heiya balik ke ‘bilik istirehat’ miliknya.

“Ustaz! tolong sayaaaa..tolong sayaaaa…”.  

Ucapan Heiya tanpa diduga. Juga tanpa diduga,   tahu-tahu dia kini sudah berada dalam pelukan Heiya yang datang menerpa, tanpa sempat dielak. Itulah kata-kata pertama Heiya sepanjang sesi kaunseling berlangsung.  Zulkifli Alias tergamam dan terkejut besar. Terkejut dengan tindakan Heiya. Dia tidak pernah dipeluk oleh perempuan ajnabi.

Dia meninggalkan Heiya Habibah dengan ucapan - “Syukur, Alhamdulillah”.

Zulkifli Alias merasa sangat berbaloi jika dia dapat membimbing Heiya dari awal, bermula dengan pengetahuan asas agama sehingga kepada praktis hidup Islam seperti perlakuan akhlak mulia sebagai muslimah sejati.

Hari demi hari hubungannya dengan anak murid bernama Heiya ini kian rapat dan mesra. Nasihat dan ajaran  agama tidak pernah putus, tanpa rasa jemu diberikan.