Tuesday, 22 December 2015

bagaimana menulis novel


Bagaimana Menulis Novel.

Agar selepas ini menulis novel tidak membuat orang menutup dan menjualnya di tempat kitar semula.

Awal pagi, klik-klik dan melihat perkataan pertama.

Apakah itu Chaebol dan Candy dalam penulisan novel?

Aha.

Belajar ilmu penulisan novel model drama Korea.

Cik Puan Azzah Abdul Rahman​ menulis.

Tema antara dua darjat - kedengaran amat klise.

Namun hakikatnya, untuk genre cinta, tema ini satu-satunya yang evergreen dan universal. Dari zaman Romeo & Juliet sehingga Yong Pal.

Antara dua darjat harta adalah yang paling klise.

Ya, darjat bukan semestinya harta. 

 

Perbezaan status sosial, agama, akademik, dan banyak lagi.

Chaebol

K-Drama menyaksikan begitu banyak drama yang watak heronya ialah lelaki 'chaebol' (pewaris kekayaan) berpangkat Presiden / CEO.

Candy

Manakala female lead-nya pula digelar Candy - gadis biasa-biasa. 

 

Istilah 'Candy' ini dipinjam daripada anime Jepun yang terkenal iaitu Candy Candy.

Foto di atas mengumpulkan hero-hero K-Drama yang sinonim dengan watak Presiden / CEO.

Dan selalunya, watak lelaki chaebol ini sifatnya dingin dan angkuh.

Klise, bukan?

Namun, apa yang membezakan mereka?

Karakter.

1. Kim Won (The Heirs): Presiden dan chaebol Jaeguk Group - konglomerat yang menguasai hampir semua jenis bisnes di Korea kecuali telekomunikasi.

Obses mahukan takhta sehingga sanggup mengorbankan kekasihnya sendiri dan bermusuhan dengan adik tiri yang disangka mahu merebut kedudukannya.

2. Lee Hyun-wook (My Loveable Girl): Presiden ANA Entertainment.

Komposer genius, chaebol syarikat hiburan. Dihantui rasa bersalah menyebabkan kematian kekasihnya, namun jatuh cinta pula kepada adik kekasihnya itu.

3. Cha Jae-wan @ Jayden (Hotel King): Pengurus Hotel Ciel.

 

 Super dingin kerana kehidupan masa kecilnya penuh tragedi.

Di depan pelanggan, dia terkenal sopan dan komited. Di belakang, hidupnya penuh dendam.

Pasangannya dalam drama ini bukan perempuan Candy, tetapi Ah Mo-ne, perempuan chaebol ala Paris Hilton.

Konflik yang disebabkan oleh kedua watak ini menjadikan Hotel King sebuah drama yang memang hebat.

4. Cha Jung-woo (Cunning Single Lady): CEO D&T Software Ventures @ genius IT. 

 

Bukan chaebol. 

 

Bangkit daripada kegagalan dalam perkahwinan sehingga berjaya menjadi 'Steve Jobs' Korea.

5. Joo Joong-won (The Master's Sun): CEO Kingdom Group yang kedekut dan tamak, memiliki empayar hotel dan pusat membeli-belah.

Semua perkara adalah bisnes baginya. Pasangannya dalam drama ini seorang gadis Candy, tetapi mempunyai kelebihan boleh melihat hantu.

6. Gu Seo-jin (Hyde, Jekyll, Me): CEO dan chaebol Wonder Group, pemilik taman tema Wonderland.

Menghidap penyakit Dissociative Identity Disorder (DID), dan mempunyai tiga personaliti berbeza di luar sedar.

Dalam suasana K-Drama masih lagi banyak watak-watak CEO chaebol dan Candy, ada yang sudah mula lari daripada kepungan itu. Namun tetap mengekalkan tema antara dua darjat.

7. Park Jung-hwan (Punch): Pengarah Pasukan Anti Rasuah untuk Peguam Negara.

Bersubahat melakukan pelbagai jenayah dengan ketuanya sehinggalah didapati menghidap tumor otak yang serius. Bekas isterinya pula peguam kerajaan yang amanah.

8. Do Min-joon (My Love From The Star): Makhluk asing yang sudah 400 tahun terperangkap di bumi dan pada zaman ini dia bekerja sebagai pensyarah subjek sejarah di universiti.

Pasangannya bukan Candy, tetapi pelakon wanita terkenal kategori A-List yang bersikap diva.

Ya, cinta antara alien dengan manusia juga adalah dalam tema antara dua darjat.

9. Kim Tae-hyun (Yong Pal): Doktor bedah yang cemerlang disebabkan tekadnya belajar bersungguh-sungguh demi menebus kelemahan diri kerana tidak mampu menyelamatkan nyawa ibunya sendiri.

Bukan chaebol, bukan CEO hospital.

Asal daripada keluarga susah, ayahnya sendiri gangster. Dicop sukakan duit kerana mahu membayar hutang lintah darat - dipinjam untuk kos rawatan buah pinggang adiknya.

Demi duit, dia sanggup melakukan 'house call' merawat ahli-ahli kumpulan gangster yang cedera akibat pergaduhan. Dalam drama ini, female lead yang berwatak chaebol - bersifat dingin dan penuh dendam.

Walau apapun tema dan watak yang klise, tetap boleh dimanipulasikan melalui penciptaan Karakter.

Dan perhatikan juga, tidak ada bidang perniagaan yang sama dalam contoh-contoh chaebol di atas.

Hasilnya, penonton memperolehi pelbagai informasi daripada bermacam-macam industri.

Bukan sekadar dialog bisnes juta-juta dalam mesyuarat dan di padang golf.

 

 

"Kisah penjaga lif."

Hari ini saya berforum di atas pentas JKR sempena program Persada Minda tahun ke-6. Saya sepentas bersama Tuan Ashwad Ismail​ dari Astro AWANI​ dan Tuan Mohamed Fairuz Mohd Pilus, Pengarah Bahagian Hak Cipta MyIPO

Program ini menghimpunkan 700 kakitangan JKR sepanjang dua hari dan diketengahkan mengenai aktiviti pembacaan, penulisan dalam setiap medium, baik secara online atau offline.

Saya tertarik melihat salah seorang peserta yang hadir. 
 
Beliau individu pertama bangun dan menceritakan kisahnya.

"Saya bertugas di JKR dan pengurusan lif di bawah tanggungjawab saya, malah lif yang digunakan oleh orang-orang penting juga saya uruskan," ceritanya perlahan-lahan.

Saya memerhatikan, beliau mengarang satu persatu ayat di atas kertas dan membacanya agar setiap maklumat sampai kepada khalayak.

Mungkin ada sedikit kekeliruan dari aspek kedudukan ayat dan sebutan gaya orang lama, tetapi mesej beliau paling penting mendorong saya mencatat kisahnya.

"Tugas di JKR, saya menjaga lif, tetapi saya juga membaca buku. Tiga kategori buku pilihan saya, iaitu sejarah, motivasi dan novel Tetapi saya keliru dan tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis. Walaupun begitu, saya membaca dan buku motivasi menjadi kekuatan saya bekerja di sini."

Dari atas pentas, beliau mengingatkan saya kepada arwah ibu. 
 
Cakapnya perlahan-lahan agar orang dapat faham. Kemudian suka membaca buku meskipun kosa katanya masih yang dahulu, iaitu menggunakan ejaan bacha berbanding baca. 
 
Jawatan beliau hanya menjaga lif sejak tahun 1980-an, tetapi semangat membacanya luar biasa.

Tahan sahajalah air mata apabila ada orang seperti ibu kita sedang berada di depan.

Belum forum selesai, terus turun pentas (dengan izin moderator), buku tulisan bersama Irma Hasmie Ibrahim​, iaitu SMILE menjadi tanda terima kasih saya hulurkan kepada beliau.

"Cik Puan, yakin dan percaya, buku ini lebih mudah Cik Puan fahami dan dapat menghadam isinya dengan baik," itu janji saya terhadap kualiti buku terbitan PTS​.

Sambil menghulurkan buku, beliau gembira berkata dengan nada perlahan, "Tahukah Tuan, saya akan masukkan sebuah buku motivasi ke dalam beg tangan setiap kali keluar bekerja."

Selesai sesi forum, beliau mendekati saya dan memohon saya lakukan sesuatu, "Tuan meninggalkan tandatangan dan ayat bertulis pen dalam buku ini. Saya ingin Tuan baca pula apa yang saya tuliskan kepada Tuan dalam buku yang dihadiahkan tadi," saya baca dan beliau sehabis baik menulis doa yang baik-baik dengan gaya bahasa orang lama.

Memang menyentuh rasa dengan keikhlasan beliau.

Nama beliau Cik Puan Nur Hafilah Thevi (foto di bawah, wanita di sebelah kanan pembaca).

Lif yang kecil dalam urusan kerjanya menjadi luas melalui pembacaanya.

Mana mungkin saya akan berhenti menyeru saudara yang berilmu dan baik akhlaknya daripada turut bersama-sama menambahkan buku-buku ilmu yang mudah difahami agar lebih ramai pembaca seperti beliau dapat membaca buku yang baik.


Semalam saya memerhatikan isteri berdiri di hadapan booth menjual pelbagai jenis kacang.
 
Oh, sememangnya beliau hantu kacang.

Ketika awal bercinta dahulu pun, kacang jugalah menjadi hadiah kiriman beliau.

Saya merapati beliau yang sedang khusyuk mendengar penerangan penjual.

Sambil itu merasa sample yang diberikan.

 
Saya tertarik dengan penyataan berani peniaga ini.

Castania, Premium Nut Boutique.

Lalu saya pun bertanya, lelaki bernama Lifri bercerita, "Castania ini sudah beroperasi sejak 1950-an di Lebanon.
 
Saya teruja mahu tahu, apa yang dikatakan premium?

"Tuan, kacang-kacang kami dibawa dari pelbagai negara dan disaring berkali-kali bagi mengasingkan kualitinya."
 
Saya uji beliau, nampak sangat saya ini banyak masa lapang pada hari itu.

Saya tunjuk secara rambang beberapa kacang yang penandanya terbalik. Berpuluh jenis kacang mengelilingi booth.
 
Cepat sahaja Lifri memberitahu jenis, dari negara mana, apa perbezaanya dan apakah jenis rasa kita akan nikmati apabila menggigit dan mengunyahnya.

 
Sebegitu sekali!
 
Christine, wanita yang bertugas di booth datang dan memberikan kami merasa.
 
Benar, sama seperti Lifri ceritakan.
 
Saya hairan apabila dengan bersahaja Christine membuka bungkusan kacang di hadapan kami. "Eh! Inikan untuk tujuan jualan, kenapa dibuka dan diberikan kepada kami?"
 
"Majikan kami berkata, tak mengapa, biar sampai rasa di lidah pelanggan."

Baiklah, kami makan sahaja.
 
Sambil itu saya bertanya kepada Lifri, bagaimana sikap pembeli produk premium?
 
"Teliti dan mahukan maklumat. Mereka sanggup membayar harga kacang kami yang mahal ini apabila maklumat diperolehi."

Ting!

Saya terfikir, ini juga sikap pembaca premium.
 
Pembaca yang premium tidak mudah membeli buku yang ditulis dengan pendapat semata-mata. Ia seperti merendahkan intelek dan nilai wang mereka.
 
Contohnya, jika saudara menulis buku kekeluargaan, ada dua pilihan menulisnya.

Pertama ditulis begini, 
 
"Anak-anak membesar dengan bahagia apabila ibu-bapa harmoni."

Kedua ditulis begini,
 
"Tahap puas hati anak kepada ibu-bapa meningkat sehingga 30 peratus (Lindsey, 2001) apabila hubungan ibu-bapa stabil dan seimbang."

Antara ayat satu dan dua, mana lebih berpengaruh?

Ya, ayat yang memberikan maklumat lebih berpengaruh ke atas kita.
 
Kerana itu pembaca tidak kisah membayar mahal terhadap penulisan kita. Sebagaimana mereka berbelanja membeli buku-buku luar negara yang mahal.
 
Mahukah menjadi penulis yang mahal?
 
p/s/s/ Penulis juga dapat bermula dari sebuah buku bagi meningkatkan tahap premium dengan menghasilkan buku yang mendorong jemputan-jemputan dari organisasi premium.
 
 


 

No comments:

Post a Comment