Bab I
ZULKIFLI ALIAS
“Berambus
kau!”
“Aku
tak mau tengok lagi muka kau lagi!”
ZULKIFLI
Alias berundur sedikit daripada meja Kong Keong. Hatinya bergetar. Tangannya
mengengam penumbuk.
‘Astagfirullahalazim…astagfirullahalazimmm’,
dia membutirkan bisikan zikir, cuba tenangkan diri. Namun si Cina Senior
Cheif Supervisor itu dilihat kecil-besar, kecil-besar sahaja. Kalau
ditunggu lebih lama pasti hatinya tidak tahan sabar.
“Tunggu
apa lagiiiii, cepatttt, berambussss…..melayu bodoh!!”
Kong
Keong menyeranah Zulkifli Alias sepuas hati. Suhu bilik yang sejuk dijajahi aircon tidak mampu memadam nyalaan api
amarah Kong Keong. Puncanya ?. Punyanya banyak. Ledakan lahar api kemarahan
pada tengahari itu adalah kemuncak dari luahan rasa tidak tidak puas hati yang
ditahannya sekian lama. Manusia yang bernama Zulkifli Alias itu adalah musuh
utamanya di kilang itu. Sakit hatinya kerana orang yang dibenci ini adalah
orang yang sering pula dipuji-puji oleh big
bos. Sudah beberapa kali dia menjadi tokoh pekerja contoh. Ini tidak boleh
jadi. Lama kelamaan jika dibiarkan, suatu hari nanti dia boleh pijak kepala
aku. Celaka. Bertahun-tahun Kong Keong menahan perasaan dan memikirkan
kedudukannya yang mungkin goyah. Zulkifli Alias adalah pencabarnya yang paling
berpotensi berbanding dengan supervisor
yang lain. Acap kali sudah dia cuba ‘meracuni’ big bos. Jangan biarkan Melayu naik sampai atas. Namun itu tidak
menjamin apa-apa. Perlumbaan mesti berasaskan merit dan competency kata big bos, suatu hari di majlis family day bagi merai dan menghiburkan pekerja.
Mengadap bos bermakna sedia menahan telinga untuk dimaki. Zulkifli Alias
beralih arah selepas keluar dari bilik Kong Keong tadi. Mulanya dia bercadang
mahu meneruskan kerja yang masih lagi berbaki 15 minit sebelum waktu rehat.
Namun dia mengambil keputusan untuk berehat lebih awal. Dia kenyang menelan
sumpah seranah Kong Keong. Hilang rasa lapar dan terputus seleranya untuk makan
tengahari. Dia berjalan melalui tepi tingkat kantin lalu memesan kopi ‘O’ ais kegemarannya. Minuman itu
sesuai dengan tekaknya bila dipadankan dengan hembusan asap rokok yang
dilepaskan setelah disedutnya dalam-dalam sekejap lagi.
“Hajar,
air tu nanti hantar kat belakang, ya!”. Dia menitipkan pesan kepada pelayan
(anak taukey) kantin.
Perkataan
belakang itu sudah dimaklumi oleh si gadis yang dipanggil Hajar tadi. Zulkifli
Alias melabuhkan punggungnya di pelantar bangku panjang di bawah pokok di
belakang kantin. Segera dikeluarkannya sekotak rokok buat menemaninya melayan hati
yang sedang medidih. Sebatang rokok dikeluarkan bagi menghalau suara hantu Kong
Keong yang sedang melolong di kotak fikirannya saat itu.
Mujur,
tiba-tiba bayangan wajah arwah datuknya segera bertandang, jernih dan tenang di
ruangan mata, sekilas memadam gelora rasa yang sedang membuak. Walau pun
ingatan kepada datuk itu masih menyambung rasa lara, tetapi sekurang-kurangnya
kesedihan yang sedang mengulit dirinya kini adalah kesedihan yang bersulam
dengan kenangan nostalgik tentang kehidupan masa lalu. Masa berlalu pantas,
cepat pula merampas kebahagiaan zaman kanak-kanaknya. Dia dibela oleh datuk
bersama seorang adik dan bapa-bapa saudaranya, selepas kematian ayah.
HOOOORAYY!!..Hoooorayy!.
Hati aku rasa berbunga. Rasa teruja dan kesukaan. Sayup-sayup aku dengar suara
dari corong pembesar suara yang sangat jarang sekali akan bergema di kampung.
Melalui pengalaman, aku tahu suara dari pembesar suara begitu datangnya dari sebuah lori “pick
up” kecil yang dipandu melewati beberapa kampung. Sekali aku mengamati betul-betul suara yang tadinya
masih sayup jauh, tapi kini makin dekat dan jelas telinga dan akal aku tidak
salah lagi. Malam ini pasti ada hiburan.
“aaaaaa…adik
kakok semua…jange lupo malae ni ada wayae gamba di padang skolah kg
panchor….aaaa adik kakok semua pakat tubik ramai-ramai..”
Aaaa..adik
kakok semua.. begitulah ayat diulang-ulang oleh juruhebah yang duduk disebelah
pemandu. Tanpa bertangguh, aku perlu berlari ke tepi jalan untuk memungut ‘sakela’ iaitu sebutan orang kampung kepada
kertas hebahan yang dicampak dari lori kecil itu, iaitu kenderaan Jabatan
Penerangan.
“Mal,
bunyi seghupo oghe woyae gamba tuh, cepat la maghi kito gi tunggu ambik
sakela’, aku melaungkan suaraku kepada rakan sepermainan guli, Kamal ‘che yok’.
Tambahan
che yok dibelakang namanya adalah satu gelaran yang sengaja diberikan oleh
seseorang lalu terus melekat padanya, turut dipanggil sebegitu oleh kawan-kawan
dan orang-orang kampug. Budaya biasa di kampung-kampung, tambahan gelaran pada
nama-nama asal ini akan dapat membezakan antara orang-orang yang mempunyai nama
yang sama, biar pun ada antara gelar-gelar itu yang memalukan pada mulanya,
sehingga menjadi terbiasa pada lama kelamaan masa berlalu dan gelar itu terus
digunakan. Ketika itu Kamal sedang asyik membersihkan lubahg-lubang guli yang
baru ditinggalkan petang semalam. Lubang-lubang guli itu dikorek di atas tanah,
sekitar satu inci dalamnya dan seluas bulatan pertemuan antara ibu jari dan
jari telunjuk sahaja. Dengan saiz yang sebegitu akan menguji kehebatan setiap
pemain guli untuk memasukkan gulinya dari jarak yang paling jauh sekali pun.
“Yo…aku
ghaso gitu jugok….mari kita gi tunggu….cerita gapo malae ni….ha..ha..mesti beh
nih”, kata Kamal.
Serentak
itu kami berlari menuju ke tepi jalanraya. Begitu jugak budak-budak lain,
semuanya berlari meninggalkan tempat bermain mengikut kelompok masing-masing.
Ada yang meninggalkan sekejap permainan selambut. Ada yang meninggalkan permain
lompat getah mereka. Ada pula yang meninggalkan permainan bola awal, permainan
congkak, permainan baling rumah selipar dan macam-macam lagi mainan kanak-kanak
kampung.
“aaaaaa…adik
kakok semua…jange lupo malae ni ada wayae gamba di padang skolah kg
panchor….aaaa adik kakok semua pakat tubik ramai-ramai..”
Bunyi
hebahan itu semakin dekat. Satu kampung jadi geger dan riuh dengan suara
hebahan itu dan teriakan keriangan kanak-kanak di tepi jalan. Ada yang sebaya
aku dan Kamal dan ada yang lebih muda dan lebih tua.
“aaaaaa…adik
kakok semua…jange lupo malae ni ada wayae gamba di padang skolah kg
panchor….aaaa adik kakok semua pakat tubik ramai-ramai..”
Kali
ini aku sudah nampak punca datangnya suara yang menggetarkan jiwa itu. Dari
selekoh dihujung kampung aku nampak lori pick up kecil yang ditambat ‘hela’
untuk membesarkan suara si juruhebah. Kelihatan budak-budak berlari-lari
berebut cycler paper yang disebut sakela
oleh orang kampung. Ia ditaburkan oleh seseorang yang duduk di belakang lori.
Hati tambah berdebar dup..dup…sambil berharap semoga aku akan dapat mengutip sakela itu nanti. Antara ramai-ramai
budak yang menanti itu, sudah pasti akan ada yang hampa kerana ‘kalah’ dalam
perebutan untuk mendapatkan sakela
itu.
“Aaaaa…adik
kakok semuaa…”.
Kelibat
lori pick up dengan suara hebahan
yang menggetar jiwa itu sudah lalu di depan aku dan Kamal, serentak itu tiga
helai kertas sakela dilabung tinggi oleh orang di belakang lori pick up itu.
Kertas itu melayang-layang ditiup angin, tidak dapat dijangkakan ke mana akan
jatuh. Budak-budak yang berjujut di tepi jalan pakat berlari mengikuti asap
yang ditinggalkan oleh lori pick up Jabatan Penerangan yang datang dari Kampung
Raja, Jertih iaitu sebuah pekan kecil sebagai pusat pentadbiran bagi Daerah
Besut, Terengganu.
“Yeaaaa….aku
dapat…..yeaaaa aku dapat”. Kamal berlari kegirangan.
“Yeaaa…aku
buleh….Yeaaa aku buleh”. Teriak Paksu Sin.
“He…he…he…
aku buleh….aku bulehh!!”. Teriak pula Senah.
Masing-masing
mengangkat kertas sakela sambil
melompat-lompat kegirangan meraikan kemenangannya dalam perebutan itu.
Budak-budak
yang tidak dapat kertas hebahan termasuk juga aku berlari-lari mengerumuni Kamal, Paksu Sin dan Senah. Masing-masing
ingin tahu apa cerita Wayang Pacak yang akan dibawakan oleh Jabatan Penerangan
pada malam ini. Aku dan lain-lain yang tidak tahu membaca mahu melihat gambar
yang tercetak, sebelum mendengar apa
tajuk cerita dan para pelakonnya yang akan diberitahu oleh abang-abang yang
sudah pun bersekolah peringkat rendah atau menengah. Hero-hero dan
heroin-heroin yang terkenal waktu itu ialah Latif Ibrahim, Hail Amir, Uji
Rashid dan Syarifah Aini. Mereka juga adalah penyanyi-penyanyi yang sedang
popular dengan lagu-lagu mereka yang dirakamkan dalam pita kaset, iaitu
teknologi baru yang menggantikan piring hitam. Kertas berpindah salih berganti
tangan hingga terkeronyok oleh keterujaan budak-budak kampung yang dihidangkan
hiburan sebegitu sekali setahun atau paling kerap pun dua kali setahun.
Permainan yang ditinggal bagi terlupakan seketika. Masing-masing bercakap soal
kehebatan hero dan heroin yang akan beraksi di layar putih malam nanti. Sesiapa
yang mempunyai pengetahuan yang lebih sedikit pasti menjadi tumpuan sebagai
tukang mengarai cerita itu ini begitu dan begini tentang perkara yang bersangkut
paut dengan cerita dan pelakonnya pada malam ini. Selain watak baik-baik, watak
antoganis juga pasti tidak terlepas daripada percakapan budak-budak di bawah
pokok, di atas tangga, di bawah rumah atau dimana-mana kertas sakela itu diarak
selepas jatuh ke tangan pemenang dalam perebutan tadi. Aku mengerumuni ke
kumpulan Paksu Sin kerana dia adalah pak saudara aku. Beza umurnya hanya 3
tahun lebih tua dari aku. Boleh dikatakan, dia jugalah yang akan menjadi ketua
dalam permainan kanak-kanak di sekitar rumah kami, terutama permainan-permainan
yang mencabar seperti main guli lubang dan jugak main kombat.
Setelah
kejutan yang dibawa oleh lori pick up
tadi telah mereda, semua kanak-kanak meneruskan semula permainan yang
ditinggalkan tadi. Paksu Sin, Kamal che yok, Aku, Kamal Mak Muda Pinah, Brahim
Pok Nik Nor, Wae Semae dan Mat Ropi Pak Muda Mat Sah kembali ke gelanggang
guli.
“Chop!
Acu masuk lubae tikih tak akittttttt….”, Paksu Sin memulakan lontaran guli
menuju ke lubang ibu sambil berteriak susunan kalimah keramat dalam permainan
guli.
Kalimah
yang disebut seiringan semasa melontar guli itu adalah satu ayat yang
mengandungi terma undang-undang permainan yang telah disepakti dan difahami
oleh semua budak-budak pemain guli. Entah siapa yang merekakannya tiada siapa
yang mengetahui atau mengambil peduli. Apa yang pasti mereka semua akan
mematuhinya. Bagi sesiapa yang terlupa menyebutnya akan menerima hukuman.
Hukumannya ialah guli mereka akan dikeluarkan dari lubang itu jika ada guli
lain yang masuk ke lubang yang disertai dengan kata-kata ‘chop masuk lubang
tikih tak akit’ tadi. Ertinya pemain yang melontar buah gulinya sambil
menyebutkan kata-kata tadi mempunyai kuasa kebal dan immunity daripada
disingkirkan dari lubang ibu, sebaliknya dia dapat menyingkirkan guli dari
lubang yangmana pelontarnya tidak menyebutkan ‘jampi serapah’ tadi. Sesiapa
yang gulinya masuk ke lubang ibu atau paling hampir dengan lubang ibu, maka
dialah yang akan dapat giliran dahulu untuk cuba memasukkan gulinya ke dalam
lubang satu, lubang dua dan lubang ibu atau memangkah mana-mana guli yang
menghalang laluannya. Target utama pemain-pemain ialah untuk memecahkan guli
orang lain atau paling tidak pun dapat memangkahnya sekuat kuat hati supaya
guli-guli itu akan pergi jauh dan menyusahkan pemiliknya untuk memasukkan
guli-guli mereka dalam lubang satu, lubang dua dan lubang ibu. Waktu ini riuh
rendahlah suara budak-budak ketawa puas hati atau bertengkar sesuatu atau
mengejek mereka yang kalah atau pecah gulinya. Waktu inilah juga orang-orang dewasa
sama ada ayah-ibu atau abang kakak akan mula tidak senang untuk tidur istirehat
setelah penat bekerja separuh hari di kebun getah atau kebun sayur. Lebih-lebih
lagi jika ada budak-budak yang bermain lasti getah gelang yang disangkut pada
dinding rumah. Aku dan budak-budak lain paling takut nak bermain bising seperti
lastik getah dan tolak kereta tin yang diletak batu didalamnya jika Pakcik Li
sedang tidur. Pernah dia menjerkah dan menghambat kami dengan kayu lantaran
tidurnya terganggu. Paling tidak aku lupakan bila dia merotan aku kerana jari
kelingking adik aku hampir putus terkena parang gara-gara dia merangkak kearah
aku yang sedang ghalib membuat senapang dari papan reja. Waktu itu aku sedang
leka menakik papan di atas lambung gelegar buluh, kerana musim bermain perang
kombat sedang melanda budak-budak kampung. Demam perang kombat ini pula
dicetuskan oleh sebuah siri televisyen bertajuk Combat yang mengisahkan
peperangan antara askar Amerika dan Askar German. Masing-masing budak kampung
mengkhayalkan diri mereka sebagai Vick Morrow atau Vick Johnson iaitu dua orang
watak hero dalam siri televisyen tersebut. Ada dua jenis senapang yang popular,
samada budak-budak akan menakik papan membentuk seperti senapang patah,
meletakkan kayu seinci yang diikat dengan getah gelang sebagai tempat peluru.
Peluru itu pula akan dilepaskan daripada senapang dengan daya tarikan daripada
gelang getang yang diikat dihujung senapang. Peluru biasanya dari buah senduduk
/ keluduk atau buah terung manggung yang tumbuh meliar di serata kampung. Atau
jenis senapang kedua diperbuat daripada buluh kecil samada satu, dua atau tiga
laras yang disumbat dengan buah cenerai atau buah jarum atau kertas yang
dibasahkan. Jenis ini lebih trill
kerana senapang ini mengeluarkan bunyi meletup. Kalau guna buah jejarum lagi
dahsyat, boleh menyebabkan gatal-gatal atau berkudis.
Aku
tak sabar menunggu malam. Wayang gambar pacak, hiburan paling hebat akan
ditayangkan di padang sekolah pada malam ini. Selalunya, kalau orang lain
bersorak sorai melihat hero sedang bergasak dengan penjahat, aku pula lebih
teruja melihat pakaian yang dipakai oleh pelakon-pelakonnya. Melihat baju-baju
yang gemerlap dengan butang labuci apabila para pelakon terlibat dalam aksi
berdisko dengan seluar beggi berkaki besar membuatkan mata ku tidak berkelip
menghayatinya. Entah kenapa minat aku begitu. Terlalu obsess kepada pakaian yang cantik. Namun peluang menganyam minat di
mana-mana institusi pendidikan tidak kesampaian pada waktu itu. Aku tidak
menyambung pelajaran sebaik tamat MCE, sebaliknya mula berkerja di kebun getah
milik keluarga. Puas bergelumang dengan selut dan pacat di kampung, aku mula
merantau ke bandar bekerja di beberapa buah kilang. Macam-macam jenis kilang
dan pelbagai ragam manusia aku telah temui.
Bab
II
BUAYA
SUSAH
“Bang
Zul, ada orang nak jumpa”, Hajar melontar suara dari pintu belakang kantin.
“Orang?..bukan
hantu lah ya..”, Zulkifli Alias cuba bergurau. Hajar mencebik manja.
KEMUNCULAN
tiba-tiba Hajar itu sekali gus mengheret Zulkifli Alias balik dari dunia flachbacknya terhadap kehidupan di
kampung halaman. Lamunannya bercempera melarikan diri. Segera dipenyet putung
rokok yang memanjang abunya seperti ubat nyamuk. Dia menapak ke perut kantin
melalui pintu belakang juga. Kelihatan seorang lelaki melempar senyuman sebalik
melihat kelibatnya datang dari dapur kantin. Sekejap otaknya menerawang
mengumpul ingatan tentang lelaki itu. Oh ya, dia penjual pakaian bundle dan taukey sayur di pekan itu.
Dia memang kenal pada susuk itu kecuali namanya.
“Selamat
tengahari. Nak jumpa saya?” Zulkifli Alias mendahului sapaan mesra sambil
menghulur tangan.
“Ya.
Selamat tengahari…saya Baya”. Lelaki itu menjawab, seraya menyambut tangan
Zulkifli Alias.
“Mm..saya
Zul”, Zulkifli Alias pula memperkenalkan nama.
Segera
pula dia menyambung kata, “ada apa boleh saya bantu?”.
“Ooohh..terima
kasihhh…, kita oder minum dulu lah..” Lelaki yang mengelar dirinya Baya tadi
mempelawa Zulkifli Alias memesan minuman.
Sementara
menunggu minuman tiba, Baya memulakan perbualan ringan sebelum meleraikan
hajatnya mahu berjumpa Zulkifli Alias.
“Dah
lama kerja sini?”. Baya mula merintis jalan.
“Baru
hampir 2 tahun”. Lurus saja Zulkifli Alias memjawab.
“Wow!
Hebat tu...baru dua tahun dah jadi supervisor, tentu ada ilmu pemikat
ni…he..he”. Baya menyambung tawa kecilnya dengan menepuk-nepuk bahu Zulkifli
Alias. Boleh tahan juga Orang Asli yang ini. Baru beberapa minit berkenalan
sudah mula menyulam dengan gurauan dalam perbualan.
“Ha…ha…itulah
rezeki. Kalau ada ilmu pemikat taklah kena maki tiap-tiap hari”. Balas Zulkifli
Alias lantas tersorot wajah Kong Keong baru memarahinya sebentar tadi.
“Ahh…biasa
la tu selagi kita menjadi kuli orang”. Baya mula memasang ‘jerat’ terarah
kepada maksud besarnya menemui Zulkifli Alias.
“Begini
Zul…err sebenarnya saya bercadang untuk membuka kilang seperti ini. Kilang
membuat pakaian …bla…bla…bla”. Panjang lebar Zulkifli Alias menjelaskan bussines model dan rancangan
perniagaannya sambil cuba memancing minat Zulkifli Alias untuk bersamanya.
Pertemuan tengahari itu berakhir dengan kedua-dua lelaki yang baru saling
mengenali ini bersalaman dengan penuh erat dan terpancar keyakinan dari sinar
mata masing-masing.
Malam
itu, di rumah sewanya, Zulkifli Alias terbaring bersendirian meletakkan pergelangan
tangan di atas dahi mengenangkan pertemuan siang hari tadi dengan Baya.
‘Tidak
semena-mena Baya datang berjumpa aku. Mungkinkah rezeki aku akan bertambah baik
dengan usaha bersama Baya ini?’. Dia bermonolog menggapai khayalan berbunga.
Apakah dia sudah bersedia?. Apakah potensi diri yang dia miliki?. Lantas dia
cuba memujuk diri dengan mengimbas kembali detik peningkatan kerjayanya.
TAHUN
1985/86 berlaku deflasi, iaitu keadaan ekonomi memuncak dimana permintaan
melebihi penawaran. Pengeluaran barangan dalam Negara tidak dapat menampung
kuasa beli yang sedang beredar di pasaran. Kilang-kilang terpaksa menambah
peralatan dan pekerja bagi meningkatkan produktiviti, tidak terkecuali Kilang
Wong Brothers. Sebuah kilang pakaian dimana Zulkifli Alias bekerja sebagai
operator sejak setahun yang lalu.
Suatu
hari, sedang dia minum di kantin sambil mengintai Hajar yang manis, tiba-tiba
En. Wong big bos Wong Brothers datang
duduk di sebelahnya. En. Wong menegur kemudian mula berbual-bual kosong sambil
sesekali cuba meninjau pendapatnya, bagaimana untuk meningkatkan kapasiti
pengeluaran. Melihat En. Wong yang bersahaja dan tidak meletakkan gap antara dirinya dengan pekerja
bawahan mendorong Zulkifli Alias untuk bersuara memberi pandangan. Penyelesaian
mudah, katanya. Tiada lagi waktu rehat serentak dan mesin kilang tidak perlu
ditutup semuanya apabila tiba waktu rehat seperti yang diamalkan sekarang.
Demikian dia melanjutkan buah fikirannya. En. Wong mendengar penuh minat. Idea
yang baik, fikirnya. Tapi bagaimana ?. Biarkan saja pekerja yang dipanggil Zul ini
jelaskan lebih lanjut. Dia memutuskan sendiri jawapan kepada persoalan
‘bagaimana’nya tadi yang belum terungkai.
“En.
Wong boleh perkenalkan waktu anjal bekerja”, kata Zulkifli Alias.
“Waktu
anjal…, Macam mana tu ?. En. Wong membalas.
“En.
Wong boleh menetapkan waktu rehat pagi kepada 4 sesi untuk empat line
production bergilir-gilir mengambil waktu rehat mereka”. Zulkiflia Alias
menerangkan ideanya.
“Demikian
juga untuk waktu rehat tengahari dan rehat petang”. Zulkifli Alias menyambung.
En.
Wong mengangguk tersenyum sambil segera bingkas bangun, kemudian menepuk-nepuk
bahu Zulkifli Alias.
“Bagus.
Good idea, Zul”. Dia menghabiskan
hirupan kopi sambil berdiri dan beredar ke meja kaunter sambil tertawa kecil.
Makan tengahari Zulkifli Alias hari itu dibelanja oleh En. Wong. Sebulan
kemudian Zulkiflia Alias dinaikkan pangkat menjadi line leader untuk line
production nombor 3. Kong Keong yang menjadi line leader sebelumnya dinaikkan pangkat menjadi supervisor mengantikan tempat orang yang
berhenti.
Sejak
itulah nampaknya Kong Keong mula berdongkol terhadap Zulkifli Alias kerana
cepat ‘naik’ walau pun baru setahun berkerja, sedangkan dia mengambil masa
bertahun-tahun untuk mengambil tempat itu sebelum ini.
Tahun
1987/88 pula berlaku kegawatan ekonomi dunia. Malaysia tidak terkecuali. Kadar
inflasi galak membiak. Pengeluar dan pengguna sama-sama mengelupur mengharungi
kehidupan.
Sekali
lagi beberapa saranan dan idea yang dilontar oleh Zulkifli Alias diterima pakai
oleh pihak pengurusan kilang. Bertambah berdengus dan membuak gelora hati Kong
Keong, lantaran Zulkifli Alias sekali lagi melonjak jawatan. Kali ini kedudukan
mereka sama level. Sama-sama menjawat pangkat supervisor, hanya di pisahkan dengan line production yang berlainan sahaja.
Masalah
dengan Kong Keong dan potensi yang ada pada diri. Dua elemen ini sudah cukup
untuk mengamit Zulkifli Alias menyambut lamaran Baya. Cukup untuk mengaru-garu
naluri keinginan untuk ‘berambus’
seperti yang sering kali dicabar oleh Kong Keong ke atas dirinya. Keupayaan
Baya memiliki perniagaan sayur dan bundle serta memilikipula beberapa orang pekerja mengejapkan lagi
keyakinannya kepada rancangan mereka untuk membuka kilang sendiri. Setelah
begitu pasti apa yang kehendak dirinya, lantas dia bingkas bangun menjenguk
keluar melalui tepi tingkap. Rambulan masih malu berlindung di balik awan.
Menyedari perut minta dilayan, dia meredah malam menuju ke kedai makan dan
bercadang menemui Baya selepas itu di tapak khemah jualan bundle itu.
“OK macam mana kita nak mula”. Baya
mula menyoal Zulkifli Alias sebaik
sahaja dia menyandar belakangnya pada kerusi di ruang tamu.
BAYA
ketika itu sedang mengadap mesin taip yang sudah diselitkan kertas A4. Dia
duduk di kerusi yang berhadap dengan Zulkifli Alias.
“Engkau
mulakanlah dengan menaip pendahuluan, aku nak semak balik jika ada apa-apa yang
tertinggal”. Balas Zulkifli Alias.
Sebenarnya,
dia telah mencatatkan segala keperluan kos untuk mengoperasikan sebuah kilang
pakaian di rumahnya malam tadi. Hari itu mereka bertemu untuk sama-sama
menyiapkan satu kertas cadangan untuk dihantar kepada pihak bank bagi tujuan
memohon pinjaman perniagaan. Sebolehnya Zulkifli Alias cuba menyembunyikan rasa
geli hatinya kepada Baya. Rahsia nama sebenar Baya yang pelik itu baru
diketahuinya. Dia dapat mengesan ketidakselesaan bakal rakan kongsinya itu.
Nama Buaya bin Susah terpaksa ditaip oleh Baya di dalam kertas kerja itu
bergandingan dengan nama Zulkifli Alias sebagai tuan punya projek bagi
membangunkan sebuah kilang pakaian di Bandar itu. Hampir setengah hari mereka
bertungkus lumus menyiapkan kertas cadangan itu. Merasa tidak yakin dengan
susunan bahasa dan kesempurnaan maksud yang ingin disampaikan, mereka
memutuskan untuk merujuk kepada seseorang yang dipanggil Man Pawang. Gelaran
‘pawang’ itu entah siapa yang memulakannya, tetapi yang pastinya ia merujuk
kepada kemampuannya mempersembahkan kertas cadangan projek yang jarang ditolak
oleh pihak mempunyai authority
memberi kelulusan.
Bab
III
VIVA
“Bila
kita nak hantar kertas ni?”. Tanya Zulkifli Alias.
MACAM
tidak sabar pula Zulkifli Alias sebaik Man Pawang menoktahkan titik akhir pada
kertas mereka yang dieditnya. Baya hanya diam membiarkan soalan itu berlalu
tanpa jawapan.
“Suku
jalan dah projek kita bermula…jom! kita minum dulu…”, Baya mengalih tajuk
dengan gaya meniru skrip iklan minuman, dituturkan oleh seorang budak yang
melakonkankannya. Ketiga-tiga lelaki yang hampir sebaya itu segera mengantur
langkah menuju ke kedai kopi berdekatan. Sedikit bakshis perlu dihulurkan kepada Man Pawang.
Selepas
detik yang memberangsangkan bagi Zulkifli Alias baru bermula, anihnya pula
kerana Baya diam menyepi. Tidak tahan disergah rasa resah, Zulkiflia Alias mula
bertanya kepada Baya, bilakah kertas itu hendak di bawa kepada pihak bank yang
mereka telah pilih. Langsung dia tidak menduga Baya sedang dihantui dengan
masalah lamanya, iaitu perasaan malu membawa namanya yang pelik itu. Dia
membayangkan reaksi ‘jahat’ pasti dipamerkan oleh pegawai bank nanti. Perasaan
nama itu membawa sial masih belum terhakis. Parut luka Hatinya pasti akan
berdarah kembali.
Akhirnya
Baya terpaksa juga akur. Amat tidak munasabah dia hendak memberi alasan begitu
kepada Zulkifli Alias, selepas memberi sebuah harapan. Masalah itu sebenarnya
hanyalah bersifat remeh sahaja bagi sesiapa yang memahami dan bersikap terbuka.
Zulkifli Alias menawarkan diri untuk dia sahaja yang masuk menemui pegawai bank
jika Baya tidak sanggup. Memang dia merasa janggal kerana dia hanya memegang
saham 10% sahaja dalam cadangan projek mereka itu. Namun diluar jangka,
sesampai di bank Baya memutuskan untuk masuk bersama-sama. Zulkifli Alias
terasa amat lega.
“Buaya
bin Susah... awak ni nak jadi usahawan ke nak jadi susahuwan...”.
Pegawai
bank bersuara setelah meneliti kertas cadangan yang terkandung nama kedua-dua
rakan yang mahu berkongsi projek kilang pakaian itu. Zulkifli Alias rasa macam
tidak percaya dengan apa yang didengari. Dia terkejut sebaik telinganya
menangkap ucapan tidak sopan yang meluncur dari mulat si pegawai. Belum habis
dia terkejut dengan itu, sekali lagi dia dikejutkan dengan tindakan tidak
terduga dari Baya.
Dupp!!...bibir
mulut pegawai bank berdarah ditumbuk oleh Baya. Segalanya berlaku dengan
pantas. Baya menghayun tangannya tanpa sepatah kata pun yang keluar dari
mulutnya. Serentak itu bilik itu menjadi hinggar dengan teriakan si pegawai dan
campur tangan pengawal keselamatan bank. Zulkifli Alias menjadi tidak keruan
cuba menenamkan keadaan sambil memungut kertas cadangan mereka yang terjatuh ke
lantai. Mereka dihalau keluar bagai anjing kurap.
“Padan
muka, jahat sangat mulut!”, Baya melampias rasa marah.
“Ya,
memang tidak patut”, Zulkifli Alias menyokong kata-kata kawannya itu.
“Kita
bukan hendak mengemis duit dia”, Zulkiflia Alias menambahkan lagi rasa
jengkelnya terhadap pegawai bank yang tidak beradab itu.
“Maaflah
Zul, punahlah projek kita ni…”, Baya pula menyambung kata.
“Tak
mengapa..kita cuba pula di bank..”.
Zulkifli
Alias tidak menghabiskan kata-kata bila menyedari dia tidak patut menyebut
membawa kertas kerja itu ke bank lain pada saat itu. Baya tengah frust kerana dilayan dengan tidak wajar
oleh pegawai bank tadi.
HAMPIR
sebulan Baya tidak datang berbual dengannya sewaktu rehat kerja di kilang.
Zulkifli Alias juga selama itu tidak berkesempatan untuk menemui Baya di pasar
malam. Namun kian hari, hatinya semakin tawar untuk memberi kerjasama kepada
Kong Keong. Ada sahaja kerjanya yang tidak kena di mata Kong Keong. Big bos pula sedang berura-ura untuk
berundur dari menguruskan kilang itu dan mahu menyerahkannya kepada anak-anak.
Kong Keong pasti akan lebih bermaharaja. Sekali lagi dia disergah keresahan.
Dia serba salah. Apakah Baya masih terluka hatinya akibat kegagalan mendapatkan
pinjaman bank tempoh hari. Dia sendiri pun turut membenci kepada pegawai bank
itu bila terkenangkan kelakuan menghina Baya hanya kerana namanya Buaya bin
Susah dan hanya kerana susuk tubuhnya yang tidak menarik. Keseluruhan cadangan
mereka tidak dinilai hanya kerana itu.
Tidak
semena-mena, suatu malam Baya datang mengetuk pintu rumah sewanya dan kelihatan
sangat teruja ingin menyampaikan sesuatu perkhabaran.
“Jom!
esok kita pergi ke Bank W. Kertas kita pasti diterima kali ini”. Kata Baya.
Zulkifli
Alias menggaru kepala yang tidak gatal. Sambil mengosok dagu, dia merasa pelik
dengan keyakinan yang ditunjukkan oleh Baya. Dia mempamerkan wajah yang sungguh
ceria dan excited dengan apa yang akan berlaku hari esok.
“Eh..yakin
bebenor engkau ni Baya”. Akhirnya Zulkifli Alias merungkaikan simpulan di hati.
“Esok
kita jumpa Viva, kawan aku di Maktab dulu”. Balas Baya.
Dia
mengakui Viva sebagai kawannya walau pun perkenalan mereka dahulu terlalu
singkat.
“Mmm…bolehlah
kalau begitu, tapi waktu rehat lah”. Zulkifli Alias memberi persetujuan.
Kedua-duanya
berpisah dan masing-masing berbunga senyuman menantikan hari esok yang mungkin
akan bersinar.
Bab
IV
AIR
MATA ZULKIFLI
“Saya
cadangkan Zulkifli Alias menguruskan projek-projek ini”. Datuk Buaya
melontarkan hasrat hatinya.
DIA
merujuk kepada beberapa projek yang sedang dirancang oleh Libas Jaya, sebuah
anak syarikat yang baru ditubuhkan di Sabah. Dia memandang Zulkifli Alias,
seterusnya beralih mata kepada Haji Ramdhani Rameli, Saad Isohak, Dr. Lim Chai
dan Datuk Dr. Zubeiri Ahirun. Kesemua mereka adalah Ahli Lembaga Pengarah dalam
Bya Zul Corp. Zulkifli Alias hanya tersenyum tenang tanpa menyedari ada
sepasang mata sedang merenung dengan pandangan kurang menyenangkan lantaran
diulit rasa dengki. Sepatutnya dia yang perlu diberi pengiktirafan dan
kerpercayaan begitu, kerana dia yang mengusahakan inisiatif penubuhan dan
pencarian projek-projek itu di Sabah. Dia telah memasang angan-angan sejak dari
mula dan telah pun terlanjur menyampaikan harapan itu kepada Datin Viva semasa
mereka berada di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Sambil menyelam minum air.
Begitu rancangan panjangnya. Selain berkhidmat kepada syarikat, ada berepa
kepentingan peribadi bakal diperolehinya melalui usahasama yang masih muda itu
dengan beberapa pihak di sana.
Masa
pun berlalu bersama kian menyuburnya rasa tidak puas hati Datuk Dr. Zubeiri
Ahirun terhadap Zulkifli Alias. Datuk Buaya juga mula terlihat sedikit goyah kepercayaan
dan rasa kesetiaankawan kepada rakannya itu. Manusia sememangnya mudah lupa
diri, terkhilaf dan terkadang menerima nasihat yang salah. Bisikan berbaur
dengki-khianat dan tamak-haloba sering kali dialun lunak oleh lidah pemainnya.
Namun
cerita-cerita tidak enak ini sampai juga ke telinganya yang sedang bermukim di
Sabah kini. Rakan businessman dan
kenalan sepermainan di padang golf seperti Dato’ Mansor pemilik syarikat
Mansorosmah Holding dan lain-lain yang sering juga membawa khabar berita yang
bertiup dari tanah semenanjung. Hanya kepada Hajar, isteri tercinta tempat dia
mengadu rasa. Harapannya mungkin hubungan Hajar dan Datin Viva yang rapat itu,
hubungannya yang kian rengan dengan Datuk Buaya (Baya) dapat dipulihkan.
Dipendekkan
cerita…
Selepas
berusaha dengan tekun membangunkan syarikat bersama Datuk Buaya, Zulkifli Alias
akhirnya dikhianati. Dia ditendang keluar oleh rakan yang dipercayai dikala
syarikat sedang berkembang maju. Melalui mainan politik korporat yang kotor dia
akhirnya tidak terdaya untuk melawan. Dia dihempap dengan tuduhan di bawah
Undang-Undang Kecil (23) syarikat mereka, iaitu pensabitan dengan tindakan
tatatertib. Pertuduhan yang sengaja direkacipta untuk mengenakan Zulkiflia
Alias
DALAM
kesedihan diperlakukan sedemikian, Zulkifli Alias membawa rajut hati ke
Singapura. Dia membina kerjaya baru sebagai pembantu kaunselor di sana. Pada
mulanya dia bekerja hanya sekadar ingin melupakan duka laranya dibawa
menyeberang tambak Johor. Juga bimbang simpanan yang ada akan terhakis jika
hanya diam tanpa berbuat sesuatu.
Namun,
malang datang bertimpa. Suatu hari, sehari sebelum hari raya puasa, dia telah
berada di kampung bagi menyambut raya bersama ibu dan keluarga. Pada hari itu
adik lelakinya ditangkap polis kerana masalah dadah.
Rentetan
beberapa peristiwa sedih, juga kebetulan dia mendapat pengalaman awal tentang
kaunseling walau hanya sekadar diperolehi melalui tugasnya membantu majikannya
seorang Kaunselor di Kota Singapura, dia mengambil keputusan menyambung
pelajaran di dalam bidang kaunseling Islam. Jenuh dia bergelumang dengan
buku-buku dan assignment setelah dia mengambil kursus sepenuh masa dan bergelar
‘mahasitua’, kata gurauan ganti kepada mahasiswa yang telah berusia sepertinya.
Dia di tempatkan si Penjara Wanita Kajang sebagai kaunselor pelatih selama 6
bulan dan sebagai kaunselor percubaan selama setahun, sebelum dilantik ke
jawatan tetap pada tahun berikutnya.
Bab
V
HEIYA
‘Ah..bunuh
anak lagi’. Detik hati Zulkifli Alias.
RASA
cuaknya itu timbul sebalik terpandang tajuk akhbar yang terdampar di atas meja
di luar bilik pejabatnya. Pagi itu pagi yang cerah dan ceria sebenarnya.
Zulkifli Alias masuk ke pejabat. Sama seperti hari-hari yang dilaluinya selama
bekerja di penjara itu, sambil membawa akhbar tadi di tangannya. Waktu pagi sering dimulakan dengan membaca
akhbar terlebih dahulu. Dia akan membaca tajuk-tajuk yang ada kaitan dengan
kaunseling atau yang dekat dengan kerjayanya itu seperti berita-berita tentang
banduan dan penjara atau berita tentang jenayah moral yang kian berleluasa
dewasa ini. Sebaik duduk, matanya kembali
menatap satu berita kecil yang menarik minatnya sejak tadi. Tertera tajuk
berita, ‘Bunuh Anak : Gadis Dihadap Mahkamah’.
Kuala Lumpur, Selasa- Mahkamah Tengah di
sini hari ini Pendakwaan
dilakukan oleh Pegawai
menyambung perbicaraan kes bunuh bayi yang
baru di- Pendakwa
iaitu Penolong Penguasa I, iaitu
lahirkan membabitkan seorang bekas Pegawai Eksekutif Nik Raza Abdullah Nik Kob.
Saksi utama,
Gadis tersebut, Heiya Habibah Mansor, 23, didakwa me- Inspektor Rosli Rohman dalam keterangan-
Lakukan perbuatan tersebut di bilik air sebuah rumah di nya berkata beliau
berkejar ke rumah sewa
Sebuah rumah di Taman Manggis,
Ampang Jaya, Ampang tertuduh
setelah mendapat aduan daripada
orang awam.
Sebaik sampai …
“Huh,
bilakah akan berakhirnya masalah sosial begini’, getus hati Zulkifli Alias sebaik
habis membaca, sambil cuba dibayang-bayangkannya bagaimana latar peristiwa itu
berlaku sebagaimana dilaporkan dalam berita itu. Lebih mengejutkan, kerana dia
memang kenal sungguh dengan bapa kepada gadis bernama Heiya Habibah, seperti
yang dilaporkan dalam berita akhbar itu. Dia pernah beberapa kali bersaing
merebut kontrak perniagaan dengan Dato’ Mansor semasa dia menjadi partner Tan
Sri Buaya dahulu. Satu persaingan yang cukup sengit. Adakalanya dia menang,
adakalanya kalah. Namun mereka sering jugak ‘lepak’ di Boneo Golf Resort yang
terletak di Beaufort, Sabah. Beberapa kali dia mengelengkan kepala. Seakan
tidak mahu mempercayai berita yang menampar mukanya pagi itu. Serentak itu, dia
membayangkan jika ‘budak perempuan’ itu kalah perbicaraan di mahkamah nanti,
sudah pasti imbalannya adalah penginapan percuma di penjara. Berdasarkan
pengalaman, tidak mungkin kes begitu akan mendapat hukuman lebih berat lagi
dari itu. Mensabitkan hukuman mati bukan pilihan popular para hakim. Pastinya
penjara inilah yang akan menghulur tangannya. Tidak lama lagi pasti dia akan
bertentang mata jua dengan anak Dato’ Mansor ini.
Selepas
sebulan selepas Zulkifli Alias membaca berita berkaitan seorang gadis (Anak
Dato’ Mansor) membunuh anak, tiba-tiba hari ini dia mendapat pula perkhabaran
bahawa budak yang didakwa pembunuh itu akan dimasukkan ke penjara itu. Dia
disabitkan dengan kes bunuh tanpa niat.
‘Hari
ini bolehlah aku tengok bagaimana rupanya wajah anak Dato’ Mansor ini’, hatinya
berkata-kata sendirian.
‘Perlukah
aku berjumpa dengan Dato’ Mansor nanti’, dia memanjangkan kata-kata hatinya
tadi, berubah menjadi satu persoalan pula.
Namun
keada berubah secara tiaba-tiba. Dia
tidak dapat ‘menyambut’ ketibaan penghuni baru yang ‘istimewa’ pada hari itu.
Dia bergegas pulang ke rumah selepas menerima panggilan daripada isteri.
Anaknya terjatuh tangga rumah dan mengalami
patah tangan. Dia mengambil cuti beberapa hari membawa anaknya mendapatkan
rawatan.
Hampir
terlupa Zulkifli Alias kepada gadis penghuni baru penjara, anak Dato’ Mansor
bernama Heiya Habibah. Belum pun lama dia memanaskan kerusi di pejabat, dia
dikejutkan dengan ‘panggilan hangit’ daripada beberapa orang penghuni penjara.
“Ustaz!,
Heiya Habibah mahu bunuh diri”, jerit seorang gadis yang dikenalinya bernama
Kamilia.
“Heiya
Habibah? err..”, otaknya belum dapat menangkap gambaran pemilik nama yang
disebut itu.
“Alahhh…ituuu…budak
baru anak Dato’ Mansor…”, Kamilia kelam kabut sambil melepaskan lelah kerana
berlari tadi.
“Ooo..”
itu sahaja yang termampu keluar dari mulutnya saat itu.
Tergopoh
gapah Zulkifli Alias meminjam ‘ribut’ yang dibawa Kamilia. Tangannya memegang
sehelai baju dan kain sarung yang dibawa oleh Wani, kawan si Kamalia.
Sementara
itu di satu sudut, Heiya Habibah dikelilingi oleh sekelompok penghuni Penjara
Wanita, Kajang. Matanya meliar memandang tanpa keruan. Mereka cuba
menenangkannya dan menghalang dia daripa melakukan tindakan yang lain pula.
Niatnya mahu membunuh diri telah Berjaya dihalang sebentar tadi. Baju dan
seluar yang dipakainya dikoyak-koyakkan, kemudian disambung-sambung menjadi
tali. Mujurlah ada yang nampak dan sempat menghalang.
Zulkifli
Alias segera menghulur pakaian yang dibawa kepada Heiya. Kali ini mudah pula
dia mengambilnya, kerana saat itu dia hanya berseluar dalam dan bercoli sahaja.
Sebelum itu degilnya dia kerana tidak mahu mengambil pakaian yang dihulurkan
oleh Eton. Malu kepada Zulkifli Alias barangkali, yang dipanggil Ustaz Zul oleh
para penghuni penjara itu.
“Heiya, kamu dah sedia ke mengadap tuhan…err dengan cara membunuh
diri pulak tu!”.
Zulkifli Alias melontar
suara perlahan, ketika dia hampir buntu menantikan reaksi balas dari Heiya
Habibah yang sedari tadi diam membatukan diri.
Diam. Masih tiada suara yang terbenih dari gadis itu.
“Masuk penjara ini adalah hukuman dunia, hukuman manusia sahaja.
Bagaimanalah nanti hukuman Allah Taala”,
Zulkifli Alias masih berusaha. Kali ini dia Heiya mula mendongak.
Wajahnya berubah pucat. Air mata pula yang mendahului suara yang masih
tersangkut di kerongkong si gadis. Zulkifli Alias tersenyum.
‘Ada harapan’ – berbunga doa dan bisikan dalam hati Zulkifli
Alias.
“Bersabarlah, Heiya…tunaikan solat lima waktu, solat sunat, baca
AlQur’an dan berdoa”, Zulkifli Alias mengatur tutur berbahasa nasihat. Serentak dia
menghulurkan sebuah buku.
“Bacalah”, katanya sambil memberi isyarat mahu beredar seraya
meminta kawan-kawan membawa Heiya balik ke ‘bilik istirehat’ miliknya.
“Ustaz! tolong sayaaaa..tolong sayaaaa…”.
Ucapan Heiya tanpa diduga. Juga tanpa diduga, tahu-tahu dia kini sudah berada dalam
pelukan Heiya yang datang menerpa, tanpa sempat dielak. Itulah kata-kata
pertama Heiya sepanjang sesi kaunseling berlangsung. Zulkifli Alias tergamam dan terkejut besar.
Terkejut dengan tindakan Heiya. Dia tidak pernah dipeluk oleh perempuan ajnabi.
Dia meninggalkan Heiya Habibah dengan ucapan - “Syukur,
Alhamdulillah”.
Zulkifli Alias merasa sangat berbaloi jika dia dapat membimbing
Heiya dari awal, bermula dengan pengetahuan asas agama sehingga kepada praktis
hidup Islam seperti perlakuan akhlak mulia sebagai muslimah sejati.
Hari demi hari hubungannya dengan anak murid bernama Heiya ini
kian rapat dan mesra. Nasihat dan ajaran
agama tidak pernah putus, tanpa rasa jemu diberikan.
KERJA TERHENTI SETAKAT INI,,,CADANGAN TAK DITERIMA
UNDER CONSTRUCTION
No comments:
Post a Comment